WELLINGTON - Kerajaan New Zealand akan menyediakan kit vape atau rokok elektronik secara percuma kepada orang dewasa di negara itu yang ingin berhenti merokok mulai minggu depan, lapor Xinhua.
Perkhidmatan Berhenti Merokok di seluruh New Zealand akan menerima kit permulaan vape yang akan diberikan secara percuma kepada perokok dewasa, terutamanya untuk membantu mereka yang telah mencuba kaedah lain untuk berhenti, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Casey Costello pada Selasa.
Iklan
Iklan
"Vape memainkan peranan penting dalam mengurangkan kadar merokok, dan kerajaan menyokong orang dewasa beralih kepada vape kerana ia jauh kurang berbahaya berbanding menghisap rokok," kata Costello.
Beliau berkata, mereka yang menggunakan perkhidmatan berhenti merokok adalah empat kali lebih berkemungkinan untuk berjaya berhenti merokok berbanding mereka yang tidak mendapatkan sokongan.
New Zealand menyasarkan untuk menurunkan kadar merokok kepada kurang daripada lima peratus menjelang akhir tahun depan. - Bernama-Xinhua