Lotus’s Malaysia peruntuk RM100,000

Iklan
Sukarelawan membuat persiapan menyediakan kit penjagaan diri untuk diagihkan kepada mangsa banjir di Kelantan, Terengganu dan Kedah.
KEPONG - Lotuss Stores (Malaysia) Sdn Bhd (Lotus's Malaysia) memperuntukkan RM50,000 untuk membantu masyarakat yang terjejas akibat banjir di kawasan sekitar Kelantan, Terengganu dan Kedah menerusi misi bantuan banjir #KitakanJiran.

Pengarah Eksekutif Khidmat Korporat Lotus's Malaysia, Azliza Azmel berkata, menerusi misi tersebut pihaknya menyediakan sebanyak 500 kit kebersihan diri yang di dalamnya mempunyai 19 produk iaitu berus gigi, pencuci lantai dan pakaian, tuala, tuala wanita dan sebagainya.

Menurut Azliza, setiap keperluan itu disyorkan oleh rakan strategi pengangkutan iaitu Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM).

"Misi bantuan banjir Lotus's Malaysia ini mendapat kerjasama baik daripada BSMM. Seperti sedia maklum banjir bermula pada bulan November di negeri Kelantan dan Kedah, ketika itu kami telah turun padang membantu seramai 51 pekerja Lotus’s Malaysia yang terkesan akibat banjir.

"Pada Disember pula kami sekali lagi tampil menghulurkan bantuan kepada lebih 9,000 mangsa yang terkesan di Tumpat dan Rantau Panjang. Alhamdulillah, semua berjalan lancar dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan.

"Bagi penduduk Tumpat dan Rantau Panjang, kami menyumbang 9,500 produk Lotus’s Malaysia dan hari ini merupakan kesinambungan bantuan berkenaan. Jadi secara keseluruhan kami memperuntukkan sebanyak RM100,000 untuk membantu mangsa banjir bagi tahun 2024,” katanya.

Kerjasama dengan BSMM

Antara barangan yang akan diberikan kepada mangsa banjir.
Iklan
Iklan
Iklan
Iklan


Ditanya mengenai cabaran menjayakan misi berkenaan Azliza memberitahu, agak sukar untuk mengenalpasti individu atau keluarga yang benar-benar memerlukan bantuan dan terjejas teruk akibat bencana alam itu.

Jelasnya, oleh sebab itu Lotus's Malaysia mengadakan kerjasama dengan BSMM kerana agensi itu mempunyai maklumat kawasan dan senarai mangsa banjir secara terperinci.

"Sudah pasti mereka tahu siapa dan di mana yang terkesan banjir. Kita sentiasa peka serta bersiap siaga, tidak payah tunggu lama, tahu sahaja ada pihak perlu bantuan kita pasti akan datang.

"Bagaimanapun ia tidak akan berhenti di sini dan misi ini akan diteruskan pada masa akan datang. Kami di Lotus’s Malaysia sememangnya mempunyai semangat #KitakanJiran serta sentiasa mengambil berat dengan orang sekeliling.

"Setiap bencana dan perayaan merupakan peluang kami untuk mendekati komuniti kejiranan. Saya berterima kasih kepada sukarelawan yang terdiri daripada kakitangan Lotus's Malaysia kerana bersusah payah menjayakan misi kali ini,” ujarnya.

Tumpuan kawasan terjejas

Sementara itu, Setiausaha Agung BSMM, Hakim Hamzah berkata, pengagihan bantuan akan dibuat mengikut statistik yang dibekalkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Menurut beliau, BSMM akan memberi tumpuan kepada kawasan yang terjejas banjir seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah.

HAKIM


"Bantuan akan terus disalurkan supaya mereka yang terjejas mendapat keperluan secukupnya.

"Tanpa bantuan Lotus's Malaysia, sudah pasti BSMM, Nadma dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tidak mempunyai dana yang mencukupi untuk menghulurkan bantuan.

"Bantuan yang diberikan dapat meringankan beban dan membantu mereka untuk bangkit daripada bencana ini. Barangan bantuan dipilih berdasarkan data yang menunjukkan jenis keperluan kerap diderma oleh orang ramai,” ujarnya.

Tambah Hakim, pihaknya juga bekerjasama dengan Nadma dan dalam masa sama bersedia berkolaborasi dengan NGO yang mempunyai kemudahan lain seperti lori dan pancuan empat roda.

"Selain itu, cabaran yang dialami oleh kami adalah apabila ada di antara sukarelawan BSMM terlibat dengan banjir sekali gus menyukarkan mereka untuk menyertai misi bantuan.

"Kita patut bersyukur kerana di Malaysia ini ramai orang bermurah hati,suka beri bantuan. Individu atau badanbadan korporat sentiasa bersedia memberi bantuan kepada mereka memerlukan,” ujarnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa perkara yang diperlukan hanyalah kolaborasi dan koordinasi antara NGO dan pihak suka memberi bantuan.

"Alhamdulillah dengan platform rakan Nadma, kita dapat berkongsi maklumat mengenai tempat berlakunya banjir dan bantuan yang diberikan.

"Ia bagi mengelakkan pertindihan bantuan dan memastikan tiada sesiapa pun yang akan ketinggalan mendapatkannya,” ujarnya.

REAKSI

MUHAMMAD FAEZ


"Misi bantuan banjir #KitakanJiran ini merupakan inisiatif yang baik kerana dapat membantu kawan-kawan di Pantai Timur yang terjejas.”- Muhammad Faez Muhammad Fauzi, 24 Sukarelawan.

SALLEHHUDIN


"Saya harap pelbagai pihak tampil untuk berbuat demikian kerana dapat meringankan kesusahan rakyat yang terpaksa menanggung kerugian selepas harta benda musnah akibat banjir.”

- Sallehhudin Hasshim,40 Sukarelawan.

ISKANDAR


"Saya sangat teruja menyertai misi ini, seperti sedia maklum kita banyak menerima berita bencana banjir menyebabkan saya rasa terpanggil untuk menolong orang.” - Iskandar Johari, 36 Sukarelawan.