SHAH ALAM - Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Pahang terus memberi manfaat bagi meningkatkan kualiti hidup wanita dan kanak-kanak demi memperkasa ekonomi, pendidikan, kemahiran, kesihatan, sosial dan kebajikan mereka menerusi pelbagai strategi serta program yang dirangka.
Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita Dan Keluarga Negeri Pahang, Datuk Sabariah Saidan berkata, dengan peruntukan sebanyak RM1 juta setiap tahun, dasar yang dilancarkan sejak 2022 itu terbukti memberi kesan positif dalam memberi sokongan kepada golongan memerlukan demi mendepani cabaran hidup.
Menurutnya, Kerajaan Negeri Pahang akan memastikan golongan ibu tunggal, wanita B40, suri rumah, warga emas, remaja perempuan dan kanak-kanak tidak tercicir dalam menerima manfaat daripada program-program yang bersesuaian.
"Apabila kerajaan melihat Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Pahang ini banyak memberikan impak yang bagus dalam memajukan wanita Pahang, jadi dasar ini diteruskan untuk tahun hadapan menerusi peruntukan Belanjawan 2025 Negeri Pahang.
"Ia menekankan usaha meningkatkan penyertaan wanita dalam latihan kemahiran dan keusahawanan yang penting untuk wanita luar bandar agar mereka dapat menjana pendapatan melalui perniagaan kecil-kecilan atau kerajinan,” katanya dalam Program Podcast Sinar Harian,di Studio Sinar Harian di sini, baru- baru ini.
Meningkatkan kemahiran, kebolehpasaran wanita Tambah beliau, Anggun Maju merupakan antara program utama yang wajar dimanfaatkan demi meningkatkan kemahiran dan kebolehpasaran wanita menerusi suntikan modal atau geran perniagaan.
Di bawah program berkenaan, kerajaan negeri juga memperkenalkan SuriTekno untuk memberi pendedahan ilmu keusahawanan kepada golongan suri rumah.
"Kita berikan latihan dan kemahiran keusahawanan kepada suri rumah, seperti kursus pembuatan kraftangan dan jahitan untuk membantu mereka memulakan perniagaan kecil-kecilan dari rumah.
"Kita juga sediakan program kemahiran dan latihan pemasaran digital untuk mereka mempromosikan jualan dalam talian serta penggunaan platform e-dagang untuk membantu mereka memasarkan produk lebih meluas.
"Kerjasama dilaksanakan bersama agensi seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) dengan mengadakan kursus pendek untuk beri peluang suri rumah menjalankan perniagaan,” katanya.