Himpunan Bangkit Sabahan tidak capai sasaran susulan masalah permit

Iklan
Kumpulan Himpunan Aman Bangkit Sabahan di pekarangan Anjung Selera, Likas, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU - Himpunan Aman Bangkit Sabahan tidak berjaya mencapai sasarannya apabila sebahagian ahli badan bukan kerajaan (NGO) tidak dibenarkan turun menyertai perhimpunan tersebut.

Penasihat perhimpunan aman tersebut, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, kurang daripada 10 persatuan daripada 100 NGO hadir.

Iklan
Iklan

"Himpunan ini sepatutnya membawa 30,000 orang tetapi hanya dihadkan kepada 1,500 orang sahaja. Saya ingat kurang daripada 10 NGO daripada 100 NGO sahaja. Apabila kita tidak mendapat permit, maka NGO lain diarahkan untuk tidak turun.

Zulkarnain ketika ditemui pemberita di Anjung Selera, Likas, Kota Kinabalu.

"Kita tidak ingin merumitkan keadaan sebab kita pun tiada permit. Tetapi kita boleh berhimpun secara aman kerana ini awam, tiada masalah," katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Anjung Selera, Likas, di sini pada Selasa.

Iklan

Sebelum itu, Zulkarnain yang juga Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) mendakwa perhimpunan yang dianjurkan sekumpulan individu mendakwa sebagai mahasiswa sebenarnya didalangi parti pembangkang di negeri ini.

"Saya dan beberapa individu sebagai penasihat kepada penganjur ingin meluahkan rasa kurang senang kami terhadap penganjuran yang dibuat yang mendakwa diri mereka sebagai mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Iklan

"Sebaliknya, apa yang kita tengok dalam perhimpunan ini sebenarnya didalangi oleh parti pembangkang di Sabah, inilah kita boleh nampak secara jelas.

"Kita nampak yang kebanyakan datang itu ahli-ahli mereka walaupun ada arahan jangan guna logo parti mereka tetapi penganjuran ini sebenarnya dibuat menggunakan nama menggunakan UMS tetapi sebaliknya mereka ini didalangi, dibiayai oleh parti yang berpusat di Sabah dan satu lagi berpusat di Semenanjung," dakwanya.

Sehubungan itu, beliau turut mendakwa bahawa tujuan utama penganjuran perhimpunan pihak satu lagi adalah untuk menggulingkan kerajaan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) Sabah.

"Sebenarnya mereka ini telah digunakan oleh orang-orang politik," dakwanya.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian mendapati kumpulan Himpunan Aman Bangkit Sabahan yang bergerak ke hadapan Menara Kinabalu gagal melepasi sekatan pihak polis kerana dibimbangi menimbulkan provokasi dan seterusnya kekecohan jika berlaku pertembungan antara dua pihak di kawasan tersebut.

Sementara itu, di kawasan hadapan Menara Kinabalu turut diadakan Karnival Ria yang turut dihadiri orang ramai manakala kumpulan mahasiswa UMS pula berarak dari pintu gerbang universiti ke lokasi sama bagi mengadakan Himpunan Aman Gempur Rasuah.

Susulan itu, pasukan polis serta Pasukan Anti Rusuhan Briged Sabah (PORU) dikerah bagi melakukan kawalan keselamatan di kawasan tersebut.

Keadaan mulai reda sekitar jam 4 petang apabila kumpulan Himpunan Aman Bangkit Sabahan beredar manakala kumpulan mahasiswa menyatakan pendirian untuk kekal berada di lokasi sehingga jam 1 pagi.