RINGGIT ditutup lebih rendah berbanding dolar AS pada hari dagangan terakhir 2024 berikutan permintaan yang meningkat terhadap mata wang selamat itu dalam keadaan ketidaktentuan ekonomi global yang berlarutan.
Pada jam 6 petang, ringgit merosot kepada 4.4690/4745 berbanding dolar AS daripada 4.4645/4700 semasa ditutup semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, keadaan pada masa ini lebih memanfaatkan dolar AS berikutan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) dijangka melonggarkan dasar monetarinya secara beransur-ansur pada 2025.
"Prospek penurunan kadar yang lebih rendah pada 2025 memberi tekanan kepada pelbagai mata wang termasuk ringgit memandangkan ekonomi AS kekal berdaya tahan dan memaparkan prestasi lebih baik berbanding negara maju lain.
"Ternyata dolar AS menunjukkan prestasi memberangsangkan walaupun dengan keputusan Fed untuk menurunkan kadar faedah sejak September 2024," katanya kepada Bernama.
Mohd Afzanizam berkata, mata wang tempatan lebih kukuh berbanding dolar AS pada sesi dagangan pagi dan kemudiannya beransur rendah manakala Indeks Dolar AS (DXY) kekal tinggi sepanjang dagangan.
Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes pula berkata, pasaran pertukaran asing Asia diniagakan berhati-hati, dengan tempoh berbaki tiga minggu menjelang pelantikan presiden AS berikutan peniaga memberikan tumpuan kepada perubahan yang bakal berlaku di Washington.
Ringgit ditutup kebanyakannya lebih tinggi berbanding mata wang utama lain.
Ia menyusut berbanding yen Jepun kepada 2.8529/8566 daripada 2.8278/8314 semasa ditutup pada Isnin tetapi mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.6095/6164 daripada 5.6146/6215 semalam dan lebih tinggi berbanding euro kepada 4.6549/6606 daripada 4.6583/6640 sebelum ini.
Pada masa sama, mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN, mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.2824/2867 daripada 3.2890/2935 semasa ditutup sebelum ini dan meningkat berbanding baht Thailand kepada 13.0566/0830 daripada 13.0905/1139 semalam.
Bagaimanapun ringgit lebih rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 276.9/277.5 daripada 276.5/277.0 semalam dan kekal tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 7.70/7.72. - Bernama