Jalan Masjid India dibuka sepenuhnya kepada orang awam - DBKL

Iklan
Jalan Masjid India ditutup selepas insiden lubang benam pada 23 Ogos lalu.

KUALA LUMPUR - Jalan Masjid India yang sebelum ini terlibat dengan insiden lubang benam pada 23 Ogos lalu kini dibuka sepenuhnya kepada orang awam.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan, kerja-kerja pemulihan dan pembaikan berjaya disiapkan lebih awal berbanding jadual asal pada Februari 2025.

Iklan
Iklan

Jelasnya, sepanjang tempoh fasa pemulihan dan pembaikan, pemeriksaan terperinci dilaksanakan melibatkan kerja-kerja penyiasatan tanah secara deep boring bagi mendapatkan profil tanah di sekitar Jalan Masjid India.

"Sebanyak empat ujian deep boring dijalankan bagi menentu ukur lapisan tanah dan hasil dapatan telah dimasukkan di dalam laporan akhir Insiden Jalan Masjid India," kata DBKL dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Selain itu, jelasnya, beberapa kerja telah dilaksanakan termasuk baik pulih saluran kumbahan rosak oleh pihak Indah Water Konsortium (IWK), kerja-kerja pembaikan kemasan siar kaki di 'ground zero' serta pembaikan dan naik taraf saluran longkang di kawasan sekitar Wisma Melayu dan Jalan Masjid India disiapkan DBKL.

"Pihak syarikat utiliti seperti syarikat telekomunikasi juga telah membaik pulih aset-aset mereka di kawasan tapak insiden tersebut," ujarnya lagi

Iklan

Dalam pada itu, sebagai langkah proaktif DBKL turut melakukan pemantauan secara visual di kawasan-kawasan sekitar insiden secara berkala.

"Pemeriksaan seumpama ini akan terus dijalankan DBKL bersama pihak syarikat utiliti dari semasa ke semasa bukan hanya di Jalan Masjid India malah meliputi seluruh Kuala Lumpur bagi menjamin keselamatan warganya," ujarnya.

Jelasnya, peruntukan sebanyak RM10 juta yang diberikan kerajaan pusat kepada DBKL untuk tahun 2025, akan digunakan untuk melaksanakan kajian geoteknikal dan pengesanan utiliti di kawasan pusat perniagaan bandar bagi mencegah kejadian sama berulang.

"DBKL ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam operasi pemulihan ini.

"Selain itu, DBKL juga amat menghargai kesabaran dan kerjasama orang ramai sepanjang tempoh kerja-kerja pemulihan ini dijalankan," ujarnya.