Sungai Golok melimpah: Peniaga di Rantau Panjang tutup kedai awal

Iklan
Penduduk setempat melakukan aktiviti harian seperti biasa meskipun beberapa kawasan dinaiki air ekoran Sungai Golok yang mula melimpah berikutan hujan lebat di kawasan hulu Kelantan ketika tinjauan di sekitar Rantau Panjang pada Selasa. Foto Bernama

PASIR MAS - Peniaga di Zon Bebas Cukai Rantau Panjang di sini bertindak mengemas dan menyimpan barangan jualan mereka seawal 2 petang tadi, susulan bimbang dengan paras air Sungai Golok yang melimpah dan diramal meningkat secara mendadak.

Tinjauan Bernama petang tadi mendapati kawasan itu lengang dengan banyak premis telah ditutup.

Iklan
Iklan

Peniaga selipar dan anak patung, Nurul Atikah Adli, 21, berkata, dia telah menyimpan barangan jualan di tempat tinggi bagi mengelak dibasahi air sebagai persiapan menghadapi sebarang kemungkinan.

Keadaan di kawasan rendah sekitar pekan Rantau Panjang yang digenangi air limpahan Sungai Golok berikutan hujan lebat di kawasan hulu Kelantan, ketika tinjauan pada Selasa. Foto Bernama

"Sebelum ini, saya akan membuka kedai seawal 10 pagi hingga 7 malam namun limpahan air dari Sungai Golok menyebabkan saya terpaksa menutup premis lebih awal, bimbang barangan jualan terjejas.

Iklan

"Dalam kejadian banjir pada November lepas, saya tidak menyangka paras air di sini mencecah sehingga ke paras pinggang menyebabkan saya menanggung kerugian besar,” katanya kepada Bernama.

Sekumpulan kanak-kanak mengisi masa lapang bermain di halaman rumah yang digenangi air ketika tinjauan pada Selasa. Foto Bernama

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Peniaga Melayu Rantau Panjang, Ramli Abdullah berkata, kebanyakan peniaga menutup premis sebagai langkah bersiap sedia menghadapi banjir.

Iklan

Jabatan Pengairan dan Saliran memaklumkan paras Sungai Golok telah melebihi paras bahaya iaitu 10.15 meter daripada paras normal lima meter setakat 7.30 malam ini. - Bernama