Umat Islam wajib bela, pertahan rakyat Palestin - MKI

Iklan
MKI memutuskan umat Islam wajib membela dan mempertahan rakyat Palestin daripada segala bentuk kezaliman, pencerobohan serta penjajahan oleh rejim Zionis Israel. Foto Xinhua

SHAH ALAM - Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) memutuskan umat Islam wajib membela dan mempertahan rakyat Palestin daripada segala bentuk kezaliman, pencerobohan serta penjajahan oleh rejim Zionis Israel.

Pengerusi Jawatankuasa MKI, Datuk Dr Nooh Gadot berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sudah menyembah maklum pandangan hukum berkenaan kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah selaku Pengerusi MKI dan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-267 yang berlangsung 23 hingga 24 Oktober lalu.

Iklan
Iklan
Nooh

Menurutnya, Majlis Raja-Raja mengambil maklum mengenai pandangan hukum yang dipersetujui dan pihak berkuasa negeri boleh mempertimbangkan keputusan ini bagi tujuan pewartaan fatwa di negeri masing-masing.

"Muzakarah telah yakin dan berpuas hati dengan hujah-hujah serta fakta-fakta yang telah dikemukakan oleh penyelidik dan berpandangan umat Islam hendaklah bersatu dalam mempertahankan dan membebaskan Masjid al-Aqsa yang merupakan kiblat pertama bagi umat Islam.

Iklan

"Kita juga perlu menyokong pengiktirafan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat selaras dengan resolusi Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta hak asasi manusia

"Selain itu, boikot adalah disyariatkan dalam Islam terutama untuk mempertahankan dan memelihara maqasid syariah. Perbuatan boikot selari dengan tuntutan jihad terutama dari segi harta," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Jelas beliau, hal itu berdasarkan maksud umum jihad fi sabilillah dalam menegakkan syiar agama Islam dan dakwah Islamiah.

Katanya, ia adalah berjihad untuk meninggikan kalimah ALLAH, menjamin kedudukan agama Islam, mengembangkan dakwah dan mempertahankan pendukung-pendukung agar hak-hak umat Islam tidak ditundukkan.

"Matlamat boikot adalah untuk menekan syarikat-syarikat agar menukar polisi, visi, misi dan strategi mereka berkenaan Palestin dan memberhentikan kezaliman rejim.

"Dalam melaksanakan boikot, sikap tabayyun iaitu pencerahan, penerangan dan penjelasan hak serta batil mengikut fakta sebenar adalah amat diperlukan bagi memastikan syarikat atau produk yang ingin diboikot benar-benar ada penglibatan dengan Zionis Israel.

"Ini bagi mengelakkan berlakunya kezaliman terhadap pihak yang tidak bersalah. Boikot hendaklah dilaksanakan secara beriman, bijak, berilmu, berhikmah, beretika dan tidak bertindak secara ekstrem, melulu, melampau serta keterlaluan," ujarnya.