Kenderaan terpakai masih laris

Iklan
Kereta terpakai yang dijual di Mudah Automall Sdn Bhd, Seksyen 25 Shah Alam. Gambar kecil: Siti Syahfadila, Boon Kheng dan Alief Irfan.

SHAH ALAM - Penjual kenderaan terpakai menafikan kereta bagi segmen tersebut tidak terjual dalam pasaran automotif di negara ini.Tinjauan Sinar Harian sekitar Lembah Klang mendapati rata-rata kedai menjual kereta terpakai dapat meraih keuntungan dengan anggaran purata sekitar 15 hingga 20 unit terjual dalam tempoh sebulan.

Pengurus Jualan Mudah Automall Sdn Bhd, Lee Boon Kheng, 43, berkata, isu lambakan kereta terpakai tidak berlaku kerana pihaknya masih dapat menjual kenderaan kepada pelanggan sama ada secara semuka atau menerusi platform dalam talian.

Iklan
Iklan

Ujar Boon Kheng, meskipun peratusan jualan kereta terpakai tidak tinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya, namun ia sudah mencukupi untuk menjana keuntungan.

"Tujuh atau lapan tahun lepas, kita punya jualan dalam 50 peratus. Contohnya kalau kita ada 50 unit kereta, 25 unit mesti terjual.

Iklan

"Sekarang kita dapat untung jualan sekitar 30 atau 40 peratus, itu pun sudah memadai. Maksudnya dalam sebulan, anggaran kira-kira 15 unit dapat dijual,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Menurut Boon Kheng, model seperti Alza, Vios, Honda City dan Myvi menjadi pilihan utama pembeli berikutan kadar bayaran bulanan yang murah berbanding jenis lain.

Iklan

"Semua pekerja kilang boleh beli kereta terpakai jenis ini. Harga bulanan yang mereka perlu bayar sekitar RM400 hingga RM600.

"Paling murah ialah Nissan Almera iaitu RM400 lebih sebulan,” ujarnya.

Sementara itu, Perunding Jualan Dimensi.my, Siti Syahfadila Mohd Maizi, 38, berkata, bagi cawangan di Klang, purata kereta terpakai berjaya dijual dianggarkan sebanyak 20 unit dalam tempoh sebulan.

"Paling kurang, seorang perunding penjualan mesti dapat jual empat atau enam kereta. Tidak pernah dalam satu bulan itu mereka tidak dapat jual kereta.

"Penjualan kereta terpakai ini bergantung kepada cara kita menggunakan media sosial. Dengan adanya platform tersebut, di mana-mana pun kita boleh memasarkan kereta,” menurutnya.

Kereta terpakai yang dijual di Mudah Automall Sdn Bhd, Seksyen 25 Shah Alam

Dalam pada itu, Perunding Jualan Xpress Auto Used Car Sdn Bhd, Alief Irfan, 23, berkata, pasaran kereta terpakai bergantung kepada musim tertentu seperti perayaan atau hujung tahun.

"Ia juga dipengaruhi oleh insentif diberikan syarikat seperti bonus atau diskaun yang ditawarkan oleh syarikat yang menjual kereta.

"Biasanya, anggaran kereta terjual lebih 10 unit dalam sebulan. Jika musim perayaan, jualan boleh cecah dalam 20 unit sebulan,” tambahnya.