TAHUN 2024 yang melabuhkan tirai pada tengah malam tadi menyimpan pelbagai peristiwa suka duka. Antara yang terpahat dalam diari ialah beberapa insiden kemalangan jalan raya membabitkan bas, sama ada bas ekspres, bas henti-henti atau bas persiaran.
Apabila berlaku kemalangan bas, pastinya mendapat perhatian kerana umum mengetahui pengangkutan awam itu amat berkaitan dengan orang ramai.
Namun, agak membimbangkan apabila sebilangan pengusaha bas mengambil lewa tentang aspek keselamatan kenderaan mereka sehingga menyebabkan penumpang dalam risiko, sebaliknya lebih mementingkan cara menjimatkan kos.
Buktinya, baru-baru ini pihak berkuasa mendedahkan bahawa arahan mewajibkan syarikat pengangkutan tersebut menyediakan pemandu kedua bagi perjalanan melebihi 300 kilometer (km) tidak diambil secara serius. Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang mengeluarkan saman terhadap 25 bas ekspres dan bas persiaran kerana tidak mematuhi syarat ditetapkan itu.
Lebih mengejutkan, operasi khas yang dijalankan di tiga plaza tol itu turut menyaksikan sebuah bas ekspres disita kerana pemandunya tidak memiliki lesen memandu.
Itu di Pulau Pinang, tidak mustahil sekiranya operasi sedemikian turut dijalankan di negeri-negeri lain, jumlah lebih banyak.
Situasi yang berlaku ini tidak boleh dibiarkan kerana secara tidak langsung seolah-olah nyawa orang ramai adalah murah di mata pengusaha bas. Sedangkan, sama ada mereka sedar atau tidak, akibat perbuatan tamak itu, nyawa orang awam boleh melayang. Bahkan, ia memperlihatkan undang-undang dibuat untuk keselamatan tidak begitu tegas meskipun pelbagai amaran diberikan.
Bayangkan dalam perjalanan lebih 300km, hanya seorang pemandu disediakan oleh pihak syarikat, sedangkan pelbagai risiko bahaya boleh terjadi kepada pemandu itu di sepanjang laluan jauh tersebut.
Selain kontroversi melibatkan pemandu kedua, kes bas turut membabitkan beberapa isu lain termasuk pemandu tiada lesen dan terlibat dengan pengambilan dadah.
Pada November lalu, seramai 11 penumpang sebuah bas ekspres terpaksa menunggu lama apabila pemandu bas serta pemandu keduanya lesap melarikan diri daripada pemeriksaan operasi bersepadu pihak berkuasa di Pusat Transformasi Luar Bandar (RRC) Gopeng, Perak.
Bas dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur menuju Nibong Tebal, Pulau Pinang melalui laluan arah utara Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) itu dikatakan berhenti jam 10.30 malam dan sehingga jam 11.55 malam, dua pemandunya tidak muncul.
Isu pemandu terlibat pengambilan dadah juga bukan sesuatu yang baharu melibatkan sektor pengangkutan awam itu, namun ia kerap dilaporkan dari masa ke masa.
Justeru, pengusaha atau pemilik bas ekspres perlu lebih teliti dalam memilih pemandu demi keselamatan bukan sahaja penumpang tetapi pengguna jalan raya lain.
Syarat ketat dalam memilih pemandu bukan sahaja melibatkan kemahiran mengendalikan kenderaan tetapi lebih penting, mereka perlu bebas daripada mengambil barang terlarang. Ini kerana, dalam sesebuah perjalanan, pemandu bukan hanya membawa diri mereka tetapi kira-kira 40 nyawa di dalam bas yang berharap selamat tiba ke destinasi.
Melihat kepada pelanggaran undang-undang yang masih lagi berlaku ketika ini, meskipun amaran demi amaran dikeluarkan, adalah baik tindakan lebih tegas dikenakan bukan sahaja kepada pemandu tetapi pemilik syarikat jika jelas mengabaikan aspek keselamatan bas yang disediakan.
Insiden yang masih berlaku ini juga jelas menunjukkan undang-undang atau hukuman sedia ada belum dapat memberi kesedaran kepada pengusaha atau pemilik bas.
Justeru, sudah tiba masanya kerajaan mengenakan hukuman lebih berat terhadap pengusaha atau pemilik bas pula. Mungkin dengan cara ini, pengusaha bas tidak lagi lepas tangan sebaliknya akan lebih bertanggungjawab memastikan kenderaan selamat sebelum bergerak di atas jalan raya.
Bagi pihak berkuasa, teruskanlah operasi besar-besaran demi keselamatan orang ramai.
Cukuplah kita dihidangkan dengan pelbagai kisah tragis kemalangan jalan raya yang berpunca daripada sikap tamak dan pentingkan diri. Jalan raya bukan pembunuh tetapi yang membunuh adalah sikap manusia sendiri.
*Nurul Huda Husain ialah wartawan Meja Am Sinar Harian