'Kami akan jaga adik sampai bila-bila'

Iklan
Empat beradik dari Kampung Tanjung Musa menumpang kasih bapa dan ibu saudara selepas kehilangan ibu dan bapa tiri dalam kemalangan di Jalan Alor Pudak-Titi Haji Idris pada malam Khamis.

POKOK SENA - [DIKEMAS KINI] Empat beradik menjadikan ibu dan bapa saudara mereka sebagai tempat menumpang kasih selepas kehilangan ibu kandung dan bapa tiri dalam kemalangan di Jalan Alor Pudak-Titi Haji Idris pada malam Khamis.

Kemalangan melibatkan tiga kenderaan itu meragut tiga nyawa termasuklah pasangan suami isteri, Marzlan Abu Hassan, 52, dan Noriza Saad, 34, sekali gus menyebabkan anak mereka kehilangan insan tersayang sekelip mata.

Iklan
Iklan

Muhammad Azrul Hafizi, 15, adiknya, Aina Damia,14, dan pasangan kembar, Nur Qaseh Melissa Marzlan, 2, serta Nur Chinta Melissa Marzlan kini tinggal bersama bapa dan ibu saudara mereka, Kasuadinata Saad, 45, Zuraina Abu, 53.

Aina berkata, dia dan abangnya berjanji akan menunaikan hasrat arwah ibunya untuk menjaga dua adik mereka sampai bila-bila.

Iklan

Menurut pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jabi itu, dia juga akan sentiasa memastikan mereka berempat sentiasa bersama selama-lamanya dan tidak akan berpisah.

"Pada hari kejadian, ibu memberi pesanan kepada kami supaya jaga Chinta dan Qaseh dengan baik seperti kebiasaannya sebelum keluar dengan bapa menghadiri kenduri di Sungai Tok Pawang.

Iklan

"Bagaimanapun, kami dikejutkan berita kemalangan mengorbankan ibu dan bapa tiri kami lebih kurang jam 2 pagi Jumaat," katanya ketika ditemui di kediaman bapa saudaranya di Kampung Tanjung Musa di sini pada petang Isnin.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan tiga maut termasuk sepasang suami isteri dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Alor Pudak - Titi Haji Idris di sini pada malam Khamis.

Ketua Polis Daerah Pendang, Superintenden Rodzi Abu Hassan berkata, mangsa yang maut dalam kemalangan berusia 14, 34 dan 52 tahun.

Menurut Aina, mereka berempat kini terus tinggal di rumah bapa dan ibu saudara mereka selepas kemalangan yang mengorbankan nyawa ibu dan bapa tirinya.

"Walaupun rumah kami tidak jauh dari rumah bapa dan ibu saudara, tetapi saya enggan pulang kerana rumah itu mengingatkan kenangan kami bersama mereka berdua," katanya.

Aina menambah, sehingga kini, dia terus merindui mereka dan sentiasa teringatkan masakan arwah ibunya yang menjadi kegemarannya iaitu kari ayam dan laksa.

Sementara itu, Zuraina memberitahu, ramai yang kasihan dan berhasrat mengambil anak-anak saudaranya selepas mengetahui kemalangan menimpa Noriza dan Marzlan.

Menurutnya, ada saudara-mara dan kenalan memaklumkan kesediaan mereka membantu menjaga Muhammad Azrul dan Aina Damia.

Bagaimanapun, katanya, dia telah menganggap arwah Noriza seperti adik kandungnya sendiri, sekali gus bimbang empat anak saudaranya akan berpisah antara satu sama lain.

Katanya, suaminya hanya bekerja sebagai tukang paip, namun mereka sekeluarga bersedia menjaga empat beradik itu demi memastikan mereka tidak berpisah.

"Azrul dan Aina memang rapat dengan adik-adiknya dan mereka yang menjaga pasangan kembar itu apabila ibu dan bapa tiri mereka keluar bekerja," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu empat adik beradik ini boleh salurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional Zuraina Abu (ibu saudara) bernombor 0219141000014015.