PEMINAT Harimau Malaya perlu realistik dan tidak mengharapkan impak segera di sebalik penstrukturan Harimau Malaya yang sudah dimulakan ketika ini.
Bekas pengendali skuad kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan berkata, perubahan Harimau Malaya dalam fasa revolusi itu sudah tentu akan memerlukan masa sebelum membuahkan hasil yang dingini.
"Kita belum melihat keseluruhan skuad Harimau Malaya selepas pelantikan pengendali baharu dan mungkin ada penambahan dari segi pemain naturalisasi atau pemain warisan yang sedang diusahakan oleh Tunku Mahkota Ismail.
"Dalam masa sama, pelbagai sudut perlu dilihat dalam penstrukturan ini dan ia bukan tugas mudah.
"Ibaratnya, kita tidak boleh kata hari ini ambil jurulatih baharu atau buat perubahan, esok dah nak tengok keputusan. Segalanya memerlukan masa.
"Jurulatih juga sudah tentu perlu ruang untuk menilai corak serta taktikal sesuai untuk pasukan termasuk menilai pemain skuad kebangsaan sedia ada dan yang akan dibawa masuk dalam pasukan negara. Jadi, ia memerlukan masa," katanya kepada Sukan Sinar.
Projek revolusi Harimau Malaya yang dicetuskan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bakal membuka lembaran baharu kepada proses meningkatkan prestasi skuad negara di pentas antarabangsa.
Langkah awal menyaksikan Peter Cklamovski sebagai pengendali baharu Harimau Malaya dan bekas jurulatih Kedah, Nafuzi Zain untuk mengemudi skuad bawah 23 tahun (B-23) menandakan bermulanya revolusi itu.
Malah, Tunku Mahkota Ismail yang juga pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT) memberikan bayangan terdapat beberapa pemain yang akan dinaturalisasikan termasuk penyerang JDT, Bergson da Silva dan pemain sayap Sri Pahang, Hidalgo.
Selain itu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) turut mengumumkan bekas pemain Kanada Robert Douglas Friend sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya yang bakal menjadi peneraju utama dalam struktur organisasi baharu revolusi itu.