Pemilik kenderaan perdagangan akibatkan kemalangan akan didakwa - JPJ

Iklan
Muhammad Kifli (kanan) menunjukkan lesen digital milik pemandu lori yang diperiksa di Kota Bharu pada Selasa. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID.

KOTA BHARU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tanpa kompromi akan mendakwa pemilik lesen pengendali kenderaan perdagangan terutama lori dan treler yang terlibat kemalangan akibat kecuaian pemandunya di mahkamah.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, kertas pertuduhan akan dibuat ke atas pemilik lesen perdagangan dan mendapatkan kebenaran Timbalan Pendakwa Raya untuk proses pendakwaan mengikut Seksyen 57 Akta 715 kerana kesalahan Melanggar Lesen Pengendali iaitu gagal memberikan keutamaan ke atas pengguna jalan raya yang lain.

Iklan
Iklan

"Bermula Julai 2024, JPJ mengeluarkan sebanyak lapan kertas siasatan ke atas lori yang terlibat dengan kemalangan.

"Kesalahan sama masih berulang, jadi JPJ beri amaran keras kepada semua pemilik lesen perdagangan sekiranya berlaku kemalangan disebabkan oleh kecuaian pemandu, tindakan tegas akan diambil kepada pemilik-pemilik kenderaan,” katanya.

Iklan
Pemandu lori memberikan kerjasama ketika diperiksa oleh pihak JPJ di Kota Bharu. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Operasi Khas Motosikal Bersepadu sempena malam tahun baharu 2025 di Jalan Hamzah di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau mengulas perkembangan Operasi Khas Gempur Teknikal di seluruh negara merekodkan sejumlah 23,020 kenderaan perdagangan diperiksa dalam tempoh enam hari bermula 25 Disember lalu.

Iklan
Pemeriksaan ke atas kenderaan perdagangan dilakukan oleh pihak JPJ. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID.

Kata Muhammad Kifli, berdasarkan notis kesalahan yang dikeluarkan sepanjang operasi itu, lebih 2,000 kenderaan perdagangan dikesan melakukan kesalahan teknikal seperti tidak selenggara kenderaan dengan baik, tayar tidak mengikut spesifikasi dan tayar haus.

"Keseluruhan notis dikeluarkan sebanyak 3,864 ke atas kenderaan barangan, 2,627 diambil tindakan dan 14 disita.

"Tindakan penguatkuasaan dibuat mengikut peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) dan Kaedah-Kaedah di seluruh negara,” katanya.

Tambah beliau, operasi sama turut melibatkan pemeriksaan ke atas 2,211 kenderaan perkhidmatan awam seperti bas ekspres dengan 140 notis keluarkan, 33 diambil tindakan manakala satu disita.

"JPJ akan terus menumpukan penguatkuasaan terhadap kenderaan perdagangan berdasarkan beberapa kesalahan iaitu lebih muatan, kesalahan teknikal, kesalahan dokumentasi, kesalahan lalu- lintas juga kesalahan teknikal pembuatan dan penggunaan kenderaan,” katanya.