Warga Pakistan selamba tunggang motosikal lawan arus

Iklan
Tindakan seorang lelaki warga Pakistan menunggang motosikal melawan arus bagi mengelak sekatan jalan raya di Jalan Sultan Azlan Shah, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR - Tindakan selamba seorang penunggang motosikal warga Pakistan sengaja melawan arus bagi elak ditahan semasa sekatan jalan raya di Jalan Sultan Azlan Shah, di sini, pada Selasa, menjerat diri.

Selepas ditahan, lelaki berusia lingkungan 30-an yang menaiki motosikal jenis Yamaha 135LC itu gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri.

Iklan
Iklan
Penunggang motosikal warga Pakistan ditahan selepas dikesan melawan arus.

Itu antara kejadian yang berlaku sepanjang Op Ambang Tahun Baharu (Motosikal) 2024 yang dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur bermula jam 8.30 malam.

Operasi dengan kerjasama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) itu turut mengesan cubaan seorang pemandu kereta warga Pakistan yang dikatakan cuba melarikan diri semasa pemeriksaan selepas gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri.

Iklan

Lelaki berusia lingkungan 40-an itu mendakwa bersiar-siar dengan empat rakannya untuk meraikan sambutan tahun baharu.

Sinar Harian yang menyertai operasi itu juga mendapati tindakan seorang penunggang motosikal yang memecut laju hingga hampir melanggar anggota JPJ.

Iklan
JPJ Kuala Lumpur dengan kerjasama pelbagai agensi melaksanakan Op Ambang Tahun Baharu di Jalan Sultan Azlan Shah, Kuala Lumpur pada Selasa.

Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, objektif utama operasi ini ialah mengurangkan kemalangan maut melibatkan motosikal melalui penguatkuasaan terhadap pematuhan undang-undang jalan raya.

"Sebanyak 5,094 kenderaan diperiksa dengan 731 kenderaan dikenakan tindakan," ujarnya.

JPJ Kuala Lumpur dengan kerjasama pelbagai agensi melaksanakan Op Ambang Tahun Baharu di Jalan Sultan Azlan Shah, Kuala Lumpur pada Selasa.

Katanya, secara keseluruhan operasi ini, pihaknya telah mengeluarkan 1,510 notis iaitu 1,304 saman, larangan guna kenderaan (42 notis), arah periksa (47 notis) serta sita (117 notis).

Tambahnya, antara kesalahan utama yang dikesan ialah tiada lesen memandu (634), cukai jalan tamat tempoh (315), tiada insurans (301), nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi (113) dan kesalahan cermin sisi (16).

"Sebanyak 117 kenderaan yang disita melibatkan 101 motosikal dan 16 kereta,” katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.

Turut hadir Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan operasi itu turut merekodkan penahanan 30 pendatang asing tanpa izin (PATI) melibatkan 17 warga Indonesia, Pakistan (9), Myanmar (1) dan Yaman (1).

"Ujian saringan air kencing yang dijalankan AADK pula mendapati tiga positif dadah," katanya.

Tegas beliau, operasi ini mencerminkan usaha bersepadu pihak berkuasa untuk memastikan keselamatan jalan raya dan mencegah pelanggaran undang-undang sempena sambutan tahun baharu.