Cuti peristiwa Perlis sempena Tahun Baharu 2025 pilihan, tidak wajib sektor swasta

Iklan

SHAH ALAM - Hari kelepasan am Negeri Perlis Sempena Sambutan Tahun Baharu 2025 merupakan pilihan dan tidak wajib diberikan kepada pekerja sektor swasta.

Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia memaklumkan, bagaimanapun mana-mana majikan yang memilih cuti peristiwa negeri Perlis sempena Sambutan Tahun Baharu 2025 sebagai hari kelepasan am syarikat hendaklah memberikan cuti bergaji kepada pekerja pada 1 Januari 2025.

Iklan
Iklan

Menurutnya, majikan boleh dengan persetujuan pekerja menggantikan cuti tersebut kepada hari lain sebagaimana peruntukan Seksyen 60D(1A) Akta Kerja 1955.

"Kerajaan negeri Perlis telah mengisytiharkan tarikh 1 Januari 2025 (Rabu) bersamaan 1 Rejab 1446H sebagai cuti peristiwa sempena Tahun Baru 2025 peringkat negeri Perlis dan bagi mengambil keberkatan 1 Rejab 1446H.

Iklan

"Pengisytiharan ini dibuat selaras dengan subseksyen 9(1) Akta Hari Kelepasan 1951 [Akta 369] yang membolehkan pihak berkuasa negeri mengiystiharkan mana-mana hari sebagai hari kelepasan am bagi negeri berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, pengisytiharan itu dibuat selepas mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Iklan

Jelasnya, pemberian cuti peristiwa ini adalah satu bentuk penghargaan kepada seluruh penjawat awam dan rakyat negeri ini yang menjayakan Karnival Sambutan Tahun Baharu 2025 peringkat negeri Perlis yang diadakan pada malam ini, 31 Disember 2024.

Beliau turut berharap pengumuman cuti itu dapat menggalakkan lebih ramai penduduk menghadiri karnival tersebut yang dijangka meriah dengan pelbagai program menarik.