Mat rempit Jalan Semarak kena 'pukat'

Iklan
Polis melaksanakan operasi di Jalan Semarak sempena ambang tahun baharu 2025 pada Rabu.

KUALA LUMPUR - Geng mat rempit yang menjadikan Jalan Semarak di sini sebagai litar melakukan aksi berbahaya menjerat diri selepas 'dipukat' polis pada Rabu.

Operasi Op Samseng Jalanan sempena ambang tahun baharu bermula jam 3 pagi itu dilakukan sepasukan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur.

Iklan
Iklan
Antara aksi berbahaya yang dikesan dilakukan penunggang motosikal.

Sinar Harian yang mengikuti operasi terbabit mendapati puluhan penunggang melakukan aksi berbahaya seperti 'wheelie', melawan arus, membuat bunyi bising serta bersaing sesama sendiri.

Malah, aksi berbahaya itu dikesan menjadi tumpuan penunggang motosikal yang lain termasuk wanita dengan merakam video serta mengambil gambar termasuklah membuat siaran langsung di aplikasi sosial TikTok.

Iklan

Menyedari laluan keluar dan masuk di lokasi itu ditutup polis, penunggang terbabit cuba menyorokkan motosikal di premis kedai, menyusup melalui laluan gelap di antara bangunan serta melawan arus.

Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, operasi sehingga jma 5 pagi dilaksanakan dengan kekuatan 53 keanggotaan.

Iklan
Polis melaksanakan operasi di Jalan Semarak sempena ambang tahun baharu 2025 pada Rabu.

Katanya, penutupan jalan dilakukan di Jalan Tun Razak serta Jalan Semarak.

"Sebanyak 38 motosikal telah disita hasil pemeriksaan 156 kenderaan.

"Kita turut mengeluarkan 92 saman dan paling banyak direkodkan ialah nombor pendaftaran tidak ikut spesfikasi (27 kes), tiada lesen memandu (26 kes), tidak pamer L dan P (21 kes) dan lain-lain kesalahan," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi di sini pada Rabu.

Polis melakukan pemeriksaan ke atas lebih 100 motosikal semasa operasi di Jalan Semarak, Kuala Lumpur pada Rabu.

Tambahnya, semasa pemeriksaan terdapat motosikal yang ditahan telah diubah suai termasuklah tiada brek belakang dan ubah suai ekzos.

Selain itu, tegas Mohd Zamzuri, pihaknya memberi amaran kepada individu yang memuat naik kandungan aksi berbahaya kumpulan samseng jalanan agar menghentikan perkara itu.

Polis melakukan pemeriksaan ke atas lebih 100 motosikal semasa operasi di Jalan Semarak, Kuala Lumpur pada Rabu.

Jelasnya, JSPT memantau perkara itu termasuk di TikTok dan ada tangkapan pernah direkodkan berdasarkan media sosial.

"Kita nasihatkan agar tidak terlibat dengan aktiviti merempit dan elakkan berbuat sesuatu di luar undang-undang," ujarnya.