KOTA KINABALU - Pereka grafik dan juga aktivis, Fahmi Reza yang direman polis pada Selasa telah dibebaskan dan berlepas pulang ke Kuala Lumpur pada hari yang sama.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton yang memaklumkan aktivis itu telahpun dibebaskan pada hari yang sama.
"Sudah dibebaskan dengan jaminan polis pada jam 5.30 petang dan sudah balik ke Kuala Lumpur malam tadi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Fahmi yang dicari polis Sabah sebelum ini direman sehingga Rabu bagi membantu siasatan berhubung satu karyanya yang seumpama sindiran terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun sebelum ini memaklumkan, pihaknya telah menerima lebih 30 laporan polis berkaitan dengan aktivis berkenaan.
Laporan polis itu dibuat melibatkan poster karikatur yang direkanya dipercayai bersifat menghasut orang ramai membenci dan beliau ditahan bagi membantu siasatan di bawah Akta Hasutan.