'Ada janji-janji yang perlu kerajaan tunaikan' - Hamzah

Iklan
Tangkap layar hantaran video perutusan tahun baharu yang dimuat naik di akaun Facebook Hamzah Zainudin

SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) mengingatkan kerajaan agar menunaikan segala janji yang dibuat dan tidak membebankan rakyat dengan pelbagai kenaikan kos.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, rakyat berhak mendapat pemerintah yang serius dan bertanggungjawab, bukannya bermuka-muka atau menzalimi sesiapa.

Iklan
Iklan

"Kepada kerajaan kita peringatkan bahawa ada janji-janji yang perlu ditunaikan.

"Jangan ditekan hidup rakyat dengan lambakan cukai dan pemotongan subsidi. Jangan dibeban hidup rakyat dengan kenaikan bil utiliti, kos pendidikan, kos perubatan dan pelbagai kenaikan lain.

Iklan

"Saya peringatkan bahawa jika ada kemungkaran dan kecurangan, kita perlu ubah dengan tangan, jika tidak berupaya, kita ubah dengan lisan dan jika tidak mampu kita ubah dengan doa," katanya.

Beliau berkata, tahun 2025 adalah masa untuk semua bangkit menjadi lebih gagah.

"PN tidak akan sesekali membenarkan negara tercinta ini terjemurus ke kancah permasalahan yang tiada penyelesaian," katanya menerusi hantaran video perutusan tahun baharu 2025 yang dimuat naik di Facebook pada Rabu.

Iklan

Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut berkata, tahun 2025 ini perlu disambut dengan harapan dan tekad untuk bangkit daripada cabaran besar yang melanda negara.

Beliau berkata, PN mahukan rakyat hidup dalam kemakmuran dan bebas daripada dihimpit dengan kos sara hidup yang tinggi seperti dialami sebelum ini.

"Kita tidak mahu ada (rakyat) yang merempat, kita tidak mahu rakyat terhimpit dengan kos sara hidup yang tinggi, kita tidak mahu rakyat resah gelisah dengan pelbagai masalah," katanya.