7.5 tan ikan segar percuma habis tidak sampai sejam

Iklan
Penduduk beratur mendapatkan ikan segar percuma yang diagihkan di Dewan Taman Mewah Fasa 1 di Kuala Sepetang.

BUKIT GANTANG - Sebanyak 7.5 tan ikan kembung dan ikan lolong habis diagihkan dalam tempoh sejam kepada lebih 7,500 penduduk di Parlimen Bukit Gantang sempena sambutan Tahun Baharu 2025.

Inisiatif pemberian ikan segar secara percuma anjuran Pusat Khidmat Parlimen Bukit Gantang itu melibatkan penduduk di 25 lokasi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Sepetang dan Changkat Jering.

Iklan
Iklan
Penduduk Kampung Cheh, Changkat Jering tidak melepaskan peluang mendapatkan ikan segar percuma yang diagihkan oleh Pusat Khidmat Parlimen Bukit Gantang.

Tinjauan hari pertama program mendapati, seawal jam 8 pagi orang ramai telah mula beratur dan menunggu meskipun agihan bungkusan ikan dijadualkan bermula jam 9 pagi.

Tukang cuci, Wan Nor Baizura Wahab, 45, berkata, edaran ikan segar percuma itu merupakan inisiatif yang baik dan dapat membantu penduduk dalam mengurangkan perbelanjaan harian.

Iklan
Wan Nor Baizura

"Saya dapat tahu program ini menerusi aplikasi WhatsApp dan sudah tentu inisiatif sebegini sedikit sebanyak dapat meringankan beban berikutan harga ikan sekarang ini pun mahal.

"Ikan lolong yang kami dapat ini lebih sekilogram, boleh lah masak sedap-sedap untuk enam anak saya hari ini," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Rabu.

Iklan

Bagi operator kilang, Mohd Alif Azizi, 32, sekilogram ikan segar merupakan pemberian bermakna untuk penduduk kampung terutama golongan asnaf.

Mohd Alif

"Banyak program yang dilaksanakan sebelum ini membabitkan jualan Rahmah dan barangan keperluan harian lain, tetapi kali ini ikan segar diberikan secara percuma.

"Jadi peluang seumpama itu tidak seharusnya dilepaskan lebih-lebih lagi berhadapan dengan peningkatan kos sara hidup yang dialami semua golongan masyarakat," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, program itu dilaksanakan selama dua hari itu melibatkan keseluruhan 31 lokasi di tiga kawasan DUN.

"Hari pertama dilaksanakan di 25 lokasi manakala esok (Khamis) pula melibatkan 2.5 tan ikan segar di enam lokasi dalam kawasan DUN Trong pula.

"Program ini merupakan sebahagian inisiatif membantu seramai mungkin rakyat dalam mengurangkan beban mereka terutama golongan B40, asnaf, ibu tunggal serta penduduk kawasan pedalaman,” katanya menerusi panggilan video secara langsung di Dewan Taman Mewah Fasa 1 di sini.

Syed Abu Hussin berkata, bekalan ikan segar berkenaan diperolehi dari jeti pendaratan ikan sekitar Kuala Kedah di Kedah, Kuala Perlis (Perlis), Endau (Johor) dan Kuantan (Pahang).

Tambah beliau, program itu akan diteruskan selain berharap lebih ramai pihak dapat tampil membantu sekali gus menjadi trend yang perlu diperluas di seluruh negara.