Kartunis Ujang mahu hidup lebih tenang selepas 24 tahun muflis

Iklan
Ibrahim Anon atau lebih dikenali sebagai Ujang ketika melakar hasil karyanya pada kertas. Foto Facebook Ujang. Ibrahim kini menjalani kehidupan lebih tenang disamping turut mengusahakan rumah bot di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu.

HULU TERENGGANU - Tahun 2025 memberi sinar baharu kepada kartunis tersohor, Ibrahim Anon, 59, atau lebih dikenali sebagai Ujang kerana telah 'bebas' sepenuhnya selepas 24 tahun diisytiharkan muflis.

Bapa kepada empat anak itu menerima pelepasan kebangkrapan di bawah Seksyen 33A Akta Insolvensi 1967 berkuat kuasa pada 29 Julai tahun lalu.

Iklan
Iklan

Ibrahim ketika ditemui Sinar Harian di Tasik Kenyir baru-baru ini berkata, dia kini lebih tenang menjalani kehidupan di samping memberi tumpuan terhadap perniagaan rumah bot yang diusahakan di kawasan tarikan pelancong itu.

"Selepas diisytiharkan muflis pada tahun 2000, saya balik kampung dekat Juasseh, Kuala Pilah di Negeri Sembilan dan mula dengan benda baharu. Waktu tu macam-macam kerja saya buat termasuk apa sahaja kerja yang boleh mendatangkan hasil untuk sara keluarga dan anak yang masih kecil.

Iklan

"Saya kemudian ke Tasik Kenyir di sini dan mula ceburi bidang ekopelancongan. Sebelum muflis, saya ada pengalaman beli sebuah rumah bot disini, namun ia telah dijual.

"Dengan pengalaman yang ada, saya buat kerja di luar bidang dengan menyewa bot untuk pakej memancing sehinggalah saya berjaya anjurkan program International Monsoon Casting Tournament (IMCT) yang kini menjadi acara tahunan di Tasik Kenyir ini," katanya.

Iklan

Bercerita lanjut, Ibrahim berkata, selepas diisytiharkan muflis, dia lebih fokus menghasilkan karya secara dalam talian yang disiarkan melalui platform media sosial.

"Saya hasilkan karya menggunakan platform media sosial. Saya juga dapat peluang kerja melalui rakan-rakan yang membolehkan untuk menampung ekonomi keluarga seterusnya dapat bertahan sehingga ke hari ini," kongsinya.

Ibrahim merupakan kartunis terkenal pada era 90an menerusi karyanya seperti Aku Budak Minang di majalah Gila-Gila, Din Beramboi (majalah Ujang) serta animasi Usop Sontorian.

Bapa kepada empat anak itu bagaimanapun mengakui pernah 'merajuk' dalam bidang tersebut, namun disebabkan jiwanya yang telah sebati dengan cabang seni itu mendorongnya untuk terus berkarya.

"Tahun 2000 saya bankrap disebabkan masalah harta intelek, ia bermula selepas semua hasil karya termasuk nama dan karakter kartun telah didaftarkan.

"Apabila didaftarkan, tiada karya yang saya boleh hasilkan lagi sebab apabila dicetak sahaja, saya kena saman termasuk buat kad raya, poster dan segala yang bercetak, semuanya kena saman.

"Nama Ujang sendiri pun saya tak boleh guna termasuk tandatangan 'Ujang'. Waktu tu saya dapat 19 saman dan saya berdepan hutang RM1.8 juta dengan syarikat percetakan," katanya yang tinggal di Seri Kembangan, Selangor.

Ibrahim berkata, dia kini banyak belajar daripada pengalaman lalu dan akan terus bangkit untuk kehidupan yang lebih baik selepas melalui episod muflis bermula pada 1993.

"Tahun 1993, saya buat animasi bersiri pertama Malaysia iaitu Usop Sontorian. Waktu tu semua karya saya tidak didaftarkan di bawah Akta Hakcipta 1987. Waktu itu saya begitu naif, tak tahu macam mana cara nak daftar, malah ketika itu kempen untuk daftar hasil karya seperti ini tak begitu meluas.

"Bila kes saya naik mahkamah, saya terpaksa dapatkan khidmat guaman daripada mereka yang tahu berkaitan dengan harta intelek. Waktu tu nak dapatkan peguam yang berpengalaman dalam kes ini agak sukar.

"Dekat lima tahun saya lawan kes ini di mahkamah dan pada 2000 saya diisytiharkan muflis. Saya bersyukur, selepas 24 tahun pertolongan ALLAH SWT sampai kepada saya dan kini bebas hutang serta dapat menjalani kehidupan seperti biasa,"ujarnya.

Dalam pada itu, Ibrahim turut meminta agar pengalaman dilaluinya dijadikan sebagai pengajaran buat yang lain.

"Apa yang dilalui ini saya harap dapat dijadikan panduan kepada semua kerana tidak selamanya kita boleh berada pada kedudukan selesa kerana bila-bila masa sahaja boleh jatuh.

"Kita perlu berusaha membuat persiapan dari segenap aspek dan selebihnya berserah kepada ALLAH SWT," ujarnya.