SYARIKAT milik penuh bumiputera, VFive Group (VFive) melebarkan sayap meneroka tiga industri baharu iaitu pembangunan hartanah, konsesi dan tenaga boleh diperbaharui bermula tahun ini.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Pengasas VFive, Datuk Mohd Syafiq Abdullah berkata, langkah tersebut seiring dengan cabaran dunia perniagaan pada masa kini yang memerlukan syarikat mempelbagaikan cabang perniagaan.
Katanya, VFive Group mula bertapak sejak 2012 dengan kepakaran dalam lima bidang iaitu pengiklanan, media dan pengurusan acara, 'General Trading, Service & Recruitment' (GTSR), pengurusan kemudahan, pembinaan serta teknologi maklumat.
"Kami mengorak langkah progresif apabila melebarkan perniagaan dalam industri-industri utama lain seperti sektor pembangunan hartanah, konsesi dan tenaga boleh diperbaharui.
"Langkah strategik ini adalah sebahagian daripada visi besar syarikat untuk terus berkembang dan mencipta impak meluas dalam sektor perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan sempena Majlis Makan Malam Tahunan 2024 VFive Group bertemakan ‘A Night of Elegance - Bound by Unity, Drive by Success’ yang diadakan di Putrajaya.
Mohd Syafiq berkata, berdasarkan trek rekod kejayaan kukuh dalam bidang yang diceburi, VFive Group kini bersedia membawa kepakaran, inovasi dan kecekapan ke dalam sektor-sektor yang lain.
"Menerusi pendekatan berteraskan profesionalisme dan kualiti, VFive Group bercita-cita untuk menjadi peneraju dalam setiap industri yang diceburi, seiring dengan reputasi yang terus cemerlang.
"Peluasan industri ini menunjukkan keberanian dan wawasan syarikat ini untuk merebut peluang baharu serta mempelbagaikan portfolio perniagaan,” ujarnya.
Beliau menambah, langkah yang dilakukan itu bukan sahaja memberi peluang kepada kakitangan untuk memperkasakan kemahiran, malah dapat membuka lebih banyak ruang dan peluang yang menjamin masa depan.
Katanya, dalam melaksanakan inisiatif berkenaan, VFive Group kekal meletakkan keutamaan menjaga kebajikan kakitangan yang menjadi kunci kejayaan syarikat kerana berkat perkongsian nikmat, ia dapat dimanfaat bukan hanya kepada syarikat malah kepada kakitangan yang dianggap seperti keluarga sendiri.
"Kakitangan VFive Group juga diberi keutamaan melalui pelbagai inisiatif kebajikan bagi memastikan kesejahteraan mereka sentiasa terjaga.
"Sikap prihatin ini mencerminkan komitmen syarikat dalam membina persekitaran yang harmoni, di mana semua individu dihargai untuk mencapai potensi penuh dan VFive Group terus menjadi contoh bagaimana ukhuwah mampu menjadi pemangkin kepada kejayaan bersama,” katanya.
Sementara itu, Mohd Syafiq berkata, pihaknya juga tidak melepaskan tanggungjawab sosial kepada masyarakat dan terus membantu golongan yang memerlukan menerusi penyaluran peruntukan.
"Dana tersebut telah digunakan untuk pelbagai inisiatif termasuk bantuan kewangan, pendidikan, kesihatan serta program kebajikan lain yang memberi impak positif kepada masyarakat. Insya-ALLAH, jumlah peruntukan ini akan sentiasa ditingkatkan setiap tahun,” katanya.