KUANTAN - Hujan sepanjang hari ketika gelombang banjir kedua mula melanda Pantai Timur bukan penghalang buat Azri Abu Bakar, 44, untuk meraih kejuaraan dalam pertandingan memancing Cuti-Cuti Malaysia Jelajah Joran Pantai Timur di Pantai Sepat di sini Ahad lalu.
Azri menjinakkan ikan pari seberat 12.455 kilogram (kg) tepat jam 12.03 tengah hari, sekali gus merangkul RM15,000 sebagai juara pertandingan dengan menewaskan lebih 400 peserta lain.
Tempat kedua disandang oleh Mohd Naim Nordin, 31, yang menjinakkan pari 4.55kg, manakala Hafuzi Abu Bakar, 48, yang menaikkan ikan pari 2.405kg berpuas hati di tempat ketiga.
Mohd Naim membawa pulang RM4,000 manakala Hafuzi menerima RM2,000 dan hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Setiausaha West Coast Surfcaster (WCS), Sharudin Adnan.
Ia adalah kemenangan kedua Azri dalam tempoh dua minggu selepas menjuarai pertandingan Pancing Santai Madani di Pantai Kelanang, Selangor yang menawarkan hadiah RM10,000 pada 19 Disember lalu.
"Alhamdulillah, umpan udang hidup yang saya gunakan berjaya menambat pari sekali gus muncul juara. Meskipun hujan dan angin kencang sepanjang pertandingan, namun ia tidak mematahkan semangat saya untuk terus memburu ikan di Pantai Sepat dan akhirnya perjuangan saya membuahkan hasil,’’ katanya.
Sementara itu, Sharudin.berkata, pertandingan Jelajah Joran Pantai Timur siri ketiga itu sepatutnya diadakan pada 1 Disember lalu.
"Namun berikutan banjir yang melanda Pantai Timur, acara itu terpaksa dibatalkan atas arahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana faktor keselamatan,’’ katanya.