IPOH - Polis menahan tujuh pemandu selepas membawa kenderaan di bawah pengaruh alkohol dalam Operasi Bersepadu Ambang Tahun Baharu 2025 Kontinjen Perak di seluruh negeri, awal pagi Rabu.
Kesemua lelaki berusia antara 25 hingga 51 tahun itu ditahan di Ipoh, Taiping dan Manjung mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 selepas ujian pernafasan awal mendapati kepekatan alkohol dalam tubuh melebihi had ditetapkan.
Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, operasi kali ini terbahagi kepada dua fasa iaitu melancarkan perjalanan orang ramai yang menyambut ambang tahun baharu dan mengesan kesalahan-kesalahan jenayah dan lalu lintas dilakukan pemandu kenderaan.
"Jadi antara kesalahan yang dikesan dalam operasi ini adalah kesalahan di bawah Seksyen 45A APJ 1987 iaitu kesalahan di bawah pengaruh alkohol.
"Daripada keseluruhan 1,687 pengguna jalan raya yang diperiksa, seramai tujuh lelaki dikesan memandu dalam keadaan mabuk," katanya kepada pemberita selepas menyertai operasi di sini pada Rabu.
Beliau berkata, dalam operasi tersebut, sebanyak 1,625 kenderaan diperiksa dengan 840 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan antaranya 117 saman melibatkan tiada lesen memandu.
Katanya, sitaan turut dilakukan ke atas 22 motosikal, dua kereta dan sebuah lori bagi tujuan pemeriksaan lanjut.
"Kita juga berjaya menahan lima lelaki warga Indonesia dan seorang lelaki warga Bangladesh di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah," katanya.
Operasi bermula jam 12 tengah malam hingga 6.30 pagi itu disertai 36 pegawai kanan polis dan 187 anggota.