SEREMBAN - Melihat keletahnya yang kini sudah berusia tiga tahun, siapa sangka kanak-kanak ini dilahirkan oleh ibunya yang ketika itu dalam keadaan koma.
Eshan Nufail selamat dilahirkan Jahidah Nordin, 47, mangsa keganasan rumah tangga pada 30 November 2021.
Kini, kanak-kanak itu yang mengalami masalah tumbesaran sudah boleh berjalan dan jika dapat diluahkan perasaannya, Jahidah semestinya ibu yang paling gembira dengan perkembangan berkenaan.
Adik Jahidah, Fauziah, 44, berkata, dia sendiri tidak menyangka anak saudaranya itu akhirnya boleh berjalan lebih-lebih lagi selepas diberitahu doktor yang Nufail mempunyai masalah tumbesaran.
"Ketika lahir pun doktor beritahu Nufail tidak seperti kanak-kanak lain dipercayai ada kaitan dengan keadaan kakak yang koma ketika mengandung dan melahirkannya.
"Nufail juga ada kad orang kurang upaya (OKU). Tapi genap usia dia tiga tahun pada 30 November lalu, dia terus boleh berjalan dengan laju dan saya pun terkejut," katanya ditemui di rumahnya di Sendayan pada Rabu.
Menurutnya, walaupun mengetahui Jahidah tidak mampu memberikan sebarang maklum balas, perkembangan itu turut dikongsi dengannya.
Apa yang mengharukan kata Fauziah, sejak Nufail boleh berjalan, kakaknya itu dilihat banyak mengalirkan air mata seolah-olah itu adalah ekspresinya terhadap perkembangan anaknya.
"Saya pun selalu letakkan Nufail atas kakak supaya dia tahu yang itu adalah ibunya dan saya nampak dia macam faham.
"Doktor pun selalu pesan supaya selalu berkomunikasi dengan kakak dan disebabkan itu apa saja perkara yang berlaku termasuklah keputusan kes mahkamah baru-baru ini saya cerita dengannya," katanya.
Ujarnya, ada ketikanya kakaknya menunjukkan reaksi pada memek mukanya pada perkara yang diceritakan.
Bagaimanapun katanya, keadaannya tidak menunjukkan sebarang perubahan dan keluarga sudah mula reda.
"Alhamdulillah kami sekarang dah boleh move on selepas keputusan Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 9 Disember lalu yang menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap bekas suami kakak.
"Jika sebelum ini kami masih lagi ada rasa tidak puas hati, tapi dengan keputusan mahkamah baru-baru ini, kami lega, seperti hilang satu beban walaupun kami rasa hukuman itu tidak berbaloi dengan apa yang harus dilalui kakak sepanjang umurnya," katanya.
Bercerita lanjut mengenai Nufail, Fauziah berkata, keadaan kaki anak saudaranya itu masih bengkok dan kecil walaupun sudah boleh berjalan selain tidak mampu lagi untuk bercakap.
Disebabkan itu katanya, Nufail masih memerlukan rawatan susulan tetapi secara keseluruhannya dia dalam keadaan sihat.
"Nufail masih belum dapat sebut satu perkataan pun, tapi bila kita cakap dengan dia, dia faham.
"Jika tahun 2024 Nufail dah boleh berjalan, saya harap tahun 2025 ini dia boleh bercakap pula," katanya.