PUTRAJAYA - Peserta himpunan Solidariti Bersama Najib Razak Menuntut Keadilan yang akan dilaksanakan di Mahkamah Rayuan, Istana Kehakiman Putrajaya, pada Isnin depan diingatkan mematuhi arahan pihak polis dan tidak menimbulkan sebarang provokasi yang boleh mengganggu ketenteraman awam.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya ada menerima permohonan daripada pengajur mengenai himpunan terbabit.
"Kita sudah bersiap sedia dengan anggota polis yang mencukupi untuk mengawal keadaan.
"Polis akan membuat kawalan keselamatan dan lalu lintas sepanjang himpunan itu berlangsung," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Sebelum ini, tular memo Pas akan mengadakan himpunan Solidariti Bersama Najib Razak Menuntut Keadilan pada 6 Januari ini.
Berdasarkan memo itu, himpunan akan diadakan di Mahkamah Rayuan, Istana Kehakiman Putrajaya, pada jam 9 pagi.
Sinar Harian pada Selasa melaporkan Pemuda Pas Kelantan menegaskan solidariti terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah perjuangan parti dalam menuntut hak keadilan yang sama rata terhadap semua pihak dan bukannya untuk meraih manfaat politik.
Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad kemudian menyatakan tindakan Pas yang dilihat seperti ‘jaguh’ mempertahankan bekas perdana menteri berkenaan didakwa mempunyai agenda tersendiri demi kepentingan politik parti itu.
Sementara itu, Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed memberitahu, perhimpunan sedemikian tidak boleh dijadikan kayu ukur untuk mengguling kerajaan sedia ada.