'Pulanglah Erma Fatima, ibu rindu'

Iklan
Roslina (kanan) di samping anaknya, Erma Fatima yang dilaporkan hilang pada 25 Oktober 2024.

KUALA TERENGGANU - Lebih dua bulan selepas berita kehilangan seorang remaja perempuan orang kurang upaya (OKU) disiarkan, belum ada sebarang petunjuk keberadaan mangsa.

Ibunya, Roslina Mat Yousop, 41, berkata, mereka sekeluarga telah habis ikhtiar dan hanya mampu berdoa mengharapkan anaknya, Erma Fatima Shamsul Bahari, 18, dapat pulang ke pangkuan keluarga dengan selamat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, meskipun telah memasuki tahun baharu, kehilangan anaknya itu masih belum terungkai selepas gagal dikesan sejak 25 Oktober 2024.

Gambar Erma Fatima (kanan) yang dirakam sebelum dilaporkan hilang pada 25 Oktober tahun lalu.

"Sampai ke hari ini kami sekeluarga tidak tahu ke mana dia menghilang, tiada sebarang perkembangan diterima. Entahkan masih hidup atau sudah tiada.

Iklan

"Saya dan suami, Shamsul Bahari Abu Bakar, 47, telah cuba macam-macam usaha untuk menjejaki dia, namun segalanya masih lagi menemui jalan buntu," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Sebelum ini, pada 31 Oktober tahun lalu, Sinar Harian melaporkan seorang remaja berusia 17 tahun yang merupakan OKU kategori ketidakupayaan (spesific LD) hilang selepas keluar ke tandas di sebuah kedai makan di Batu Buruk di sini.

Iklan

Ibu mangsa berkata, kali terakhir dia bertemu anaknya yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Besar, di sini ketika mereka sekeluarga makan di restoran tersebut sekitar jam 9 pagi pada hari berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor ketika dihubungi memberitahu, setakat ini belum ada perkembangan berkaitan kes tersebut dan siasatan mengenainya masih diteruskan.

"Ketika hilang mangsa yang berketinggian 155 sentimeter (cm) dengan berat badan 50 kilogram (kg) itu memakai baju lengan panjang hitam, bertudung hitam, berseluar hitam dan berselipar.

"Selain itu, antara ciri fizikal terdapat pada mangsa ialah berkulit kuning langsat, berambut panjang hitam, hidung besar dan bibir mulut nipis," jelasnya.

Menurut Azli, siasatan kes itu dijalankan di bawah Orang Hilang (OH) dan perkembangan terkini kes itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Azizul Azizan di talian 013-4195779," katanya.