Sabah terus maju di bawah naungan Tun Musa Aman - Hajiji

Iklan
Hajiji dan isteri, Datin Seri Juliah Salag beramah mesra dengan Tun Musa selepas selesai Istiadat Lafaz Sumpah Jawatan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah Ke-11 di Istana Seri Kinabalu, Kota Kinabalu pada Rabu.

KOTA KINABALU - Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yakin negeri ini akan terus menikmati kemajuan dan kemakmuran di bawah Yang di-Pertua Negeri Sabah yang ke-11, Tun Musa Aman.

Oleh itu, Hajiji menyeru seluruh pemimpin dan rakyat di negeri ini perlu saling bekerjasama, berganding bahu dan bersatu padu ke arah memacukan pembangunan Sabah.

Iklan
Iklan

"Yang di-Pertua Negeri adalah payung bagi seluruh rakyat, simbol kedaulatan negeri yang bermaruah serta pengukuh perpaduan dan keharmonian masyarakat yang berbilang bangsa, agama dan budaya.

"Justeru, institusi Yang di-Pertua Negeri yang amat dimuliakan ini, akan selamanya dijulang tinggi sebagai teras perpaduan rakyat jelata dan simbol kedaulatan bumi Sabah," katanya sempena Istiadat Lafaz Sumpah Jawatan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah Ke-11, di Istana Seri Kinabalu, di sini pada Rabu.

Iklan

Hajiji turut berkongsi pelbagai inisiatif dan kejayaan yang dicapai kerajaan negeri sejak lebih empat tahun lalu, khususnya usaha untuk memulihkan ekonomi negeri dan mensejahterakan rakyat menerusi pelan pembangunan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

"Menerusi pelan pembangunan SMJ, kerajaan negeri berjaya meningkatkan nilai pelaburan di samping menawarkan peluang-peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan.

Iklan

"Hasil negeri turut meningkat berkat tadbir urus kewangan negeri yang baik dan kita telah berjaya mengutip hasil hampir RM7 bilion pada tahun 2024.

"Kita akan meneruskan momentum ini untuk mencapai prestasi yang lebih cemerlang. Pencapaian yang sangat menggalakkan ini adalah hasil kerja keras dan komitmen tinggi pimpinan kerajaan bersama-sama penjawat awam selaku penggerak jentera kerajaan," katanya.

Katanya lagi, dari sudut lain, berkat kerjasama dan sinergi padu antara sektor awam dengan sektor swasta sejak beberapa tahun kebelakangan ini, telah menghasilkan impak positif dalam pertumbuhan ekonomi negeri.

Sehubungan itu, Hajiji sekali lagi merakamkan tahniah dan melafazkan ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Musa sebagai Tuan Yang Terutama (TYT) Sabah.