DBKL tepati janji, peniaga lega Jalan Masjid India dibuka lebih awal

Iklan
Laluan pejalan kaki yang ditutup susulan insiden tanah jerlus 23 Ogos lalu kembali dibuka pada Selasa. Gambar kecil: Rizal, Hayati, Sahul Hamid, Zulkifli

KUALA LUMPUR - Peniaga berhampiran lokasi tanah jerlus di Jalan Masjid India di sini berharap pembukaan semula kawasan itu pada Selasa dapat mengembalikan kerancakan pengunjung seperti sedia kala.

Peniaga kedai buku, Rizal Jasmi, 64, berkata, insiden berlaku pada 23 Ogos lalu menyebabkan kawasan itu lengang daripada pengunjung yang kurang yakin dengan keselamatan di lokasi itu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, penutupan jalan untuk laluan kenderaan sepanjang kerja baik pulih juga turut menjejaskan kehadiran pengunjung.

"Masa Covid-19 bisnes memang sudah merudum, kemudian berlaku pula insiden tanah jerlus makin merosot perniagaan sampai 80 peratus.

Iklan
Peniaga di Jalan Masjid India berharap pembukaan semula kawasan itu dapat mengembalikan kerancakan pengunjung seperti sedia kala.

"Sampaikan sehari pernah tak ada jualan langsung. Jadi saya harap lepas kawasan ini kembali dibuka, perniagaan akan stabil dan kembali seperti sedia kala," katanya sewaktu tinjauan Sinar Harian pada Rabu.

Pada Selasa, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif telah merasmikan pembukaan semula Jalan Masjid India selepas ditutup hampir empat bulan untuk kerja baik pulih.

Iklan

Dalam kejadian 23 Ogos tahun lalu, seorang wanita warganegara India, Vijaya Lakshmi, 48, hilang selepas terjatuh ke dalam lubang benam di Jalan Masjid India.

Selepas sembilan hari, mangsa masih gagal ditemui dan operasi mencari dan menyelamat terpaksa dihentikan.

Laluan dibuka semula kepada orang awam selepas hampir empat bulan ditutup untuk kerja baik pulih.

Rizal yang telah berniaga di situ selama 40 tahun berkata, dia yakin kawasan itu selamat kerana kerja naik taraf dilakukan dengan teliti selain pemasangan cerucuk yang mengukuhkan lagi struktur di lokasi terjejas.

Seorang peniaga kedai baju Melayu, Hayati Hamzah, 60, berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak mungkir janji apabila berjaya menyiapkan pemulihan kawasan itu lebih awal daripada jadual ditetapkan.

"Selalu tertanya-tanya bila jalan akan kembali dibuka dan kami minta dipercepat prosesnya supaya senang nak berniaga.

"Jadi apabila mula dibuka semalam, saya jadi lega. Sejak insiden itu, perniagaan sangat terjejas, tapi pada hari ini lihat orang sudah lalu lalang dan semakin ramai membuatkan kami lebih bersemangat berniaga," katanya.

Dia juga meluahkan kelegaan penyiapan kerja lebih awal dapat melancarkan operasi perniagaan sebelum Ramadan dan Syawal susulan lokasi itu menjadi tumpuan pengunjung membeli keperluan pada musim perayaan.

Sementara itu, rata-rata pengunjung yang ditemui meluahkan rasa kurang yakin untuk melalui kawasan itu sejak insiden.

Pesara kerajaan, Sahul Hamid Daaud Shahib, 64, berkata, insiden itu memberi kesan besar terhadap keyakinan pengunjung dan DBKL perlu memastikan aspek teknikal diberikan perhatian serius bagi mengelak insiden sama berulang.

"Sebagai pengunjung, saya kurang yakin (aspek keselamatan di sini) tambahan pula ia melibatkan kes besar walaupun yang hilang hanya seorang namun impaknya sangat besar.

"Justeru, DBKL perlu lebih peka, pastikan pemantauan berterusan dilakukan terutama di kawasan-kawasan lama seperti Masjid India ini supaya kejadian sama tidak berulang," katanya.

Seorang lagi pengunjung, Zulkifli Arshad, 56, berkata, setahun sekali dia akan turun ke Jalan Masjid India untuk membeli keperluan namun selepas insiden tersebut, dia tidak lagi ke sana.

"Lepas kejadian saya ambil langkah waspada dan hanya akan turun jika perlu sahaja seperti hari ini untuk beli songkok sekolah anak.

"Harap agensi berkaitan buat pemantauan berkala sepanjang laluan saliran. Unit teknikal lebih tahu kerana mereka ada kepakaran tersebut," katanya.