'Friend bukan bomoh besar'

Iklan
Friend berdepan cabaran besar sebagai CEO Harimau Malaya.

KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya, Robert Douglas Friend bakal berdepan cabaran hebat dalam usaha memperkasakan skuad kebangsaan.

Penganalisis sukan tempatan, Mohd Sadek Mustafa berkata, biarpun Friend memiliki latar belakang yang hebat, namun ia tidak menjamin kejayaan apatah lagi dia perlu mencari 'ubat' terbaik untuk memperbaiki kelemahan Harimau Malaya daripada setiap sudut.

Iklan
Iklan

"Friend bukan ahli silap mata atau bomoh besar yang boleh mengubah segalanya dengan cepat. Dia perlu menguruskan banyak kelompongan yang ada dalam skuad Harimau Malaya.

"Harimau Malaya ini umpama istana semut dan kalau disalah urus, ia akan runtuh dengan mudah. Maksudnya, apa yang sedang diuruskan oleh Friend ini dalam keadaan rapuh dan dia perlu berhati-hati serta teliti.

Iklan

"Perkara utama, dia harus menghadam budaya, nilai, norma bola sepak di Malaysia selain memahami senario politik bola sepak negara ini.

"Dalam masa sama, dia perlu bijak mengurus ego-ego kelab bola sepak di Malaysia selain ada banyak lagi kerja yang perlu dia lakukan untuk memperbaiki pasukan Harimau Malaya," katanya kepada Sukan Sinar.

Iklan

Pada Selasa, Friend atau lebih dikenali sebagai Rob Friend secara rasminya dilantik sebagai CEO Harimau Malaya yang yang bakal menjadi peneraju utama dalam struktur organisasi baharu skuad negara.

Selain pernah menjadi bekas pemain pasukan kebangsaan dan beberapa kelab di Eropah, Friend turut memiliki portfolio baik dalam bidang pengurusan dan pentadbiran bola sepak.

Friend akan bertanggungjawab memastikan struktur organisasi baharu ini akan dilengkapi dengan tenaga-tenaga kerja yang berkualiti dan berpengalaman dalam pelbagai aspek yang diperlukan demi menyediakan satu pasukan kebangsaan yang mantap.

Menurutnya, jika Friend dapat menguruskan segala masalah Harimau Malaya termasuk kerenah peminat, maka dia akan mampu memberikan impak yang diharapkan.

"Namun, sebaliknya akan berlaku jika dia gagal mengatasi semua perkara tersebut. Pengalaman yang dia ada sebelum ini menguruskan orang yang sama kulit dan sama pemikiran dengannya.

"Tetapi, di Malaysia pemikiran yang sangat berbeza ditambah masalah lain seperti program pembangunan pemain akar umbi yang telah terbantut sekian lama yang perlu dilihatnya dengan menyeluruh," katanya.