Warga emas, kekasih tukang urut dicekup malam tahun baharu

Iklan
Salah satu pasangan yang ditahan dalam operasi dilakukan JAIM sempena sambutan Tahun Baharu 2025.

MELAKA - Hasrat seorang warga emas lelaki untuk memadu kasih bersama kekasihnya sempena tahun baharu tidak berpanjangan apabila dicekup dalam Operasi Cegah Jenayah Syariah sempena sambutan Tahun Baharu 2025 di sebuah hotel di sini pada awal pagi Rabu.

Pasangan itu antara 13 individu termasuk tujuh lelaki dan enam wanita berusia antara 21 hingga 60 tahun yang ditahan dalam operasi dilakukan oleh penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

Iklan
Iklan

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama, Datuk Rahmad Mariman berkata, peniaga berusia 60 tahun itu memberi alasan kepenatan selepas menyaksikan pertunjukan bunga api bersama kekasihnya warga Thailand berusia 42 tahun yang bekerja sebagai tukang urut.

Menurutnya, berdasarkan soal siasat awal, lelaki terbabit yang telah berkahwin, berkenalan dengan pasangannya di sebuah pusat urut di Bandaraya Melaka.

Iklan

"Mereka keluar berdua untuk menyambut tahun baharu dan menonton pertunjukan bunga api.

"Sesudah itu mereka menginap bersama di sebuah hotel berikutan penat dan telah lewat malam untuk pulang ke rumah masing-masing," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Tambahnya, kesemua mereka telah ditahan untuk siasatan lanjut, manakala seorang lagi orang yang disyaki (OYDS) wanita dijadikan saksi kes kerana bukan beragama Islam.

Ujarnya, kesemua pasangan yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1992 iaitu bersekediaman yang jika sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

"Seramai 42 orang pegawai penguat kuasa agama telah membuat pemeriksaan di 17 premis berdasarkan kepada maklumat awam dan risikan yang dijalankan.

"Operasi ini dilaksanakan antara jam 12.30 tengah malam hingga jam 4.30 pagi di hotel sekitar Bandaraya Melaka dan Alor Gajah," katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya menjauhi kesalahan jenayah syariah dan kemungkaran yang boleh membawa kerosakan yang lebih besar kepada masyarakat.

"Justeru, menjadi kewajipan bagi penguat kuasa agama untuk mencegah kemungkaran tersebut mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan," ujarnya lagi.