KUALA NERUS - Kerajaan Terengganu memperhebatkan kempen 'Indahnya Hidup Bersyariat' sempena sambutan tahun baharu dalam usaha memugarkan lagi pemerkasaan syariah di negeri ini.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Mohd Nor Hamzah berkata, usaha tersebut bagi menyedarkan masyarakat ke arah kehidupan mengikut syariah yang akan dilaksanakan secara berterusan dengan penuh kesabaran dan ketekunan.
"Pada masa sama dalam keadaan tertentu, kerajaan negeri akan menggunakan peruntukan perundangan sedia ada untuk melakukan penguatkuasaan sebagai amar makruf nahi mungkar.
"Sebenarnya masih terlalu banyak penambahbaikan yang perlu dilakukan. Memahami 'waqie' dan 'aulawiyyat' maka kerajaan negeri mengambil pendekatan secara tadaruj (berperingkat-peringkat) bermula dengan kesedaran serta pendidikan secara berterusan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Malam Munajat Terengganu 'Indahnya Hidup Bersyariat' di Dewan Arena Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini pada Selasa malam.
Mengulas lanjut, Mohd Nor menyatakan dalam usaha memperkasakan syariat Islam di Terengganu maka secara khususnya perlu berhadapan dengan cabaran fahaman liberal dan sekular yang meresap masuk dalam pemikiran umat Islam yang telah memisahkan kehidupan daripada agama.
"Agama atau ibadat hanya dilihat pada hal solat, puasa, zakat dan haji sahaja. 'Sekularisme' inilah yang perlu dihakis dalam benak pemikiran umat Islam.
'Lebih mencabar, kita terpaksa bertempur dengan fahaman Islam liberal yang merungkai satu demi satu tiang asas dalam agama.
"Agenda mereka untuk melemahkan akidah umat Islam dengan pelbagai propaganda dan persepsi tidak benar," ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa segala cabaran akan datang tidak mematahkan usaha kerajaan negeri dalam memperkasakan syariat di Terengganu.
Pada program itu, lebih 20,000 orang hadir untuk menyambut ketibaan Tahun Baharu 2025 sempena Malam Munajat Terengganu yang dianjurkan oleh kerajaan negeri dengan pelbagai pengisian program keagamaan.
Mengulas lanjut, Mohd Nor berkata, program itu bagi memastikan perjalanan bagi menempuh tahun 2025 akan dapat dilalui dengan baik oleh setiap rakyat di negeri ini.
"Kita sama-sama berdoa supaya pada tahun mendatang lebih banyak kebaikan yang kita boleh usahakan. Semoga diberikan keberkatan kepada negeri dan rakyat Terengganu.
"Menjadi impian dan harapan setiap rakyat agar tahun 2025 bahawa Malaysia berada dalam keadaan yang lebih baik berbanding sebelum ini," jelasnya.