KUALA LANGAT - Polis dijangka mengenal pasti identiti mayat reput yang ditemui dalam sungai di Banting, 28 Disember lalu pada Khamis.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan lanjut berhubung kes tersebut masih dijalankan.
"Keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dijangka diketahui selewat-lewatnya esok (Khamis) bagi mengesahkan identiti mayat berkenaan.
"Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk melibatkan motif pembunuhan," katanya pada Rabu.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan penemuan mayat reput di Rancangan Tanah Baharu (RTB) Sungai Changgang, Banting, Selangor pada Sabtu dipercayai mempunyai kaitan dengan kehilangan seorang remaja berusia 15 tahun, baru-baru ini.
Hussein berkata, pihaknya percaya mayat reput itu milik remaja perempuan, Yap Xin Yuan, 15, yang dilaporkan hilang di Kajang, Selangor pada 22 Disember lalu.
Ujar beliau, susulan penemuan mayat tersebut, polis sudah menahan tiga individu berusia 16, 20 dan 51 tahun termasuk teman lelaki mangsa bagi membantu siasatan.
Tambahnya, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang telah mengklasifikasikan siasatan kes daripada orang hilang kepada siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pada 21 Disember lalu, media melaporkan polis memohon bantuan orang ramai bagi mengesan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang dilaporkan hilang.
Mangsa dipercayai hilang selepas menghadiri sesi latihan tarian singa di kawasan gelanggang bola keranjang Batu 11, Cheras pada 19 Disember, sekitar jam 10.30 malam.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof menyatakan, pihak polis menerima laporan berhubung kehilangan Yap Xin Yuan daripada keluarganya jam 2.15 pagi pada Isnin.
Kata beliau, selepas selesai latihan tarian singa, mangsa tidak terus balik ke rumah, sebaliknya mengikut rakannya ke satu destinasi yang belum dapat dipastikan.