KLANG - Sebuah kereta yang dipandu lelaki warga emas merempuh sebuah pasar raya di Taman Sentosa di sini, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kejadian kira-kira jam 4 petang itu melibatkan pemandu berusia 73 tahun.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kereta dipandu lelaki warga emas itu terbabas ketika melalui Jalan Dato Yusuf Shahbudin sebelum melanggar premis perniagaan terbabit.
"Kemalangan itu turut mengakibatkan kerosakan pada kereta dan motosikal yang diparkir di lokasi tersebut.
"Pemandu itu bagaimanapun didapati tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, laporan mengenai kemalangan itu telah dibuat oleh pemilik kenderaan terbabit di Balai Polis Trafik Klang Selatan.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan 1987 iaitu memandu dengan tidak cermat dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil menghubungi Balai Polis Trafik Klang Selatan di talian 03-33722222.
"Orang ramai dinasihatkan agar lebih berhati-hati semasa memandu dan mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi mengelakkan berlaku kemalangan," ujarnya.
Sebelum itu, tular rakaman video di media sosial memaparkan sebuah kereta melanggar sebuah pasar raya.
Berdasarkan rakaman video itu, kelihatan seorang individu dipercayai wanita cedera dilanggar.