JOHOR BAHRU - Polis menahan seorang lelaki dan teman wanitanya di Mutiara Rini, Iskandar Puteri serta berjaya merampas lebih 14 kilogram dadah dianggarkan bernilai RM2.4 juta pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, suspek berusia 33 dan 31 tahun itu ditahan ketika berada di dalam kereta jenis Toyota Vios di sebuah tempat letak kereta.
Menurut beliau, serbuan dalam operasi khas itu dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Iskandar Puteri antara 12.30 tengah malam hingga 4.30 pagi.
"Mereka ditahan dipercayai ketika mahu mengedar dadah tersebut untuk pasaran tempatan. Kita merampas dadah dalam but kereta berkenaan.
"Kereta tersebut telah dijadikan tempat penyimpanan dadah. Mereka menggunakan kereta jenis biasa bagi mengaburi mata pihak berkuasa," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Rabu.
Menurut Kumar, hasil soal siasat ke atas pasangan berkenaan, polis seterusnya melakukan serbuan di sebuah rumah di Taman Tun Aminah.
Dalam serbuan itu, katanya, pelbagai jenis dadah dirampas antaranya 14,401 gram (g) serbuk ekstasi bernilai RM2.4 juta, 24.58g ketamin (RM4,916), 2.75g syabu (RM302) dan 19.48g pil ekstasi (RM2,550).
"Selain itu, turut dirampas pelbagai jenis barang kemas dengan nilai sitaan RM15,573 dan mata wang baht Thailand 2,170 manakala jumlah keseluruhan sitaan serta rampasan dadah RM2,428,727," katanya.
Kumar memberitahu, dadah dirampas itu sekiranya terlepas ke pasaran boleh digunakan seramai 72,195 penagih.
"Dadah ini dijual kepada pelanggan tetap mereka. Ada dadah dijual pada harga RM200 hingga RM300 sepeket dalam bentuk serbuk minuman yang biasanya dijual di kelab-kelab malam," ujarnya.
Kumar berkata, ujian saringan air kencing mendapati pasangan itu positif dadah jenis ketamin dan benzodiapines manakala semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau dadah.
Tambahnya, pasangan berkenaan direman selama tujuh hari bermula 28 Disember lalu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.