SHAH ALAM - Selangor menutup tirai 2024 dengan pencapaian luar biasa selepas mencatat kutipan hasil akhir sebanyak RM2.858 bilion.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ia merupakan kutipan hasil tertinggi Selangor dan angka itu juga melepasi sasaran RM2.2 bilion ditetapkan sebelum ini.
"Alhamdulillah. Berita gembira mengakhiri tahun 2024 semalam apabila kerajaan negeri mencatat kutipan hasil tertinggi.
"Ia melepasi sasaran dan lebih membanggakan, ia mengatasi kutipan tahun 2017," katanya menerusi perkongsian di media sosial pada Rabu.
Beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan pencapaian ini selain penghargaan kepada rakyat Selangor.
"Selamat Tahun Baharu 2025! Mari kita mulakan tahun ini dengan semangat yang lebih jitu dan tekad yang lebih kuat, menjadikan 2025 lebih baik daripada tahun sebelumnya.
"Ayuh kita terus membangun negeri lebih makmur, inklusif dan berdaya saing.
"Tahun 2025 akan mencatat momen penting seperti Kepengerusian ASEAN dan Tahun Melawat Selangor menuntut kita untuk lebih kuat bekerja demi rakyat Selangor," katanya.