MARAN - Sebuah rumah di Kampung Banjir 1, Chenor di sini, musnah sepenuhnya dalam satu kebakaran yang berlaku sekitar jam 10.45 pagi Rabu.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Maran, Kapten Pertahanan Awam (PA) Mohd Nor Azhar Yusof berkata, kebakaran tersebut disedari anak saudara pemilik rumah yang bertindak pantas menyelamatkan diri bersama neneknya.
"Ketika kejadian, pemilik rumah, seorang lelaki berusia 43 tahun tidak berada di rumah.
"Namun, abang kepada pemilik rumah segera menghubungi pihak bomba selepas menerima berita mengenai kebakaran itu," katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Nor Azhar berkata, pasukan bomba dan penyelamat tiba di lokasi kejadian dan berjaya mengawal kebakaran sepenuhnya pada jam 11.20 pagi.
Tambahnya, tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan dalam insiden ini.
"Difahamkan, rumah tersebut biasanya didiami pemilik seorang diri. Namun, semasa kejadian, ibu dan anak saudaranya tinggal bersama kerana cuti sekolah.
"Setakat ini, punca kebakaran masih dalam siasatan, manakala jumlah kerugian belum dapat dipastikan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa pihak APM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) hadir di lokasi kejadian untuk memberikan bantuan serta menjalankan siasatan awal.
Katanya, sebagai langkah keselamatan, pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah memutuskan bekalan elektrik semasa operasi memadam kebakaran.