Larangan merokok di kawasan tertutup tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan - PPPKAM

Iklan
Kajian menunjukkan pendedahan kepada asap rokok di kawasan tertutup meningkatkan risiko penyakit kronik termasuk perokok pasif. Foto hiasan (Gambar kecil: Jamalludin)

SHAH ALAM - Larangan merokok di kawasan tertutup seperti tempat kerja adalah langkah sah, munasabah dan tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM), Profesor Dr Jamalludin Ab Rahman berkata, kajian menunjukkan pendedahan kepada asap rokok di kawasan tertutup meningkatkan risiko penyakit kronik termasuk perokok pasif.

Iklan
Iklan

Oleh itu katanya, tindakan tersebut bagi memastikan pekerja dan pelanggan dilindungi daripada kesan buruk asap rokok, selaras dengan prinsip hak untuk hidup dalam persekitaran yang sihat sebagaimana dijamin di bawah Artikel 5 (1) Perlembagaan Persekutuan.

"Tindakan undang-undang untuk mencabar penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) adalah tidak selari dengan keperluan kesihatan awam dan bukti saintifik.

Iklan

"Larangan merokok di kawasan tertutup termasuk tempat kerja yang mula berkuat kuasa pada hari ini (Rabu) adalah langkah tepat dan perlu demi melindungi kesihatan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pada Selasa, Mohamed Haniff Khatri Abdulla' telah memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung larangan merokok di kawasan pejabat termasuk milik swasta yang dibuat kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan, yang bakal diguna pakai mulai 1 Januari 2025.

Iklan

Berikutan itu, Mohamed Haniff Khatri menamakan Kerajaan Malaysia dan Menteri Kesihatan sebagai defendan pertama dan kedua dalam samannya yang difailkan secara atas talian pada Selasa.

Dr Jamalludin melihat tindakan peguam, Mohamed Haniff Khatri yang mempertikaikan larangan tersebut, memerlukan penjelasan kukuh mengenai tujuan dan rasional pelaksanaan peraturan itu.

"Dasar yang dilaksanakan kerajaan ini adalah selaras dengan obligasi Malaysia di bawah Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengenai Kawalan Tembakau (WHO FCTC).

"Berdasarkan konvensyen itu, negara-negara anggota perlu melindungi orang awam daripada pendedahan asap rokok di tempat kerja, pengangkutan awam dan tempat awam tertutup dengan melaksanakan perkara-perkara yang digariskan di bawah Artikel 8 berkaitan perlindungan daripada pendedahan kepada asap tembakau,” jelasnya.

Tegas beliau, larangan itu bukan bertujuan untuk mendiskriminasi perokok tetapi bagi memastikan keseimbangan antara hak individu untuk merokok dan hak masyarakat untuk menikmati persekitaran bebas asap rokok.

"Perokok masih boleh merokok di kawasan yang dibenarkan. Tindakan undang-undang untuk mencabar dasar ini adalah tidak selari dengan keperluan kesihatan awam dan bukti saintifik.

"Oleh itu, PPPKAM menyeru kerajaan untuk terus tegas dalam perlaksanaan akta ini demi memastikan manfaat kepada keseluruhan rakyat Malaysia serta menjamin generasi akan datang hidup dalam persekitaran yang lebih sihat dan selamat,” katanya.