KUANTAN - Kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming yang menuduh Pas sebagai 'sesat' dan 'penunggang agama' disifatkan tidak masuk akal dan keterlaluan.
Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Andansura Rabu berkata, kenyataan itu boleh mengundang keresahan dan rasa tidak selesa dalam kalangan masyarakat.
Menurutnya, apabila Pas mempersoalkan tindakan Kor Ming mengadakan sambutan Krismas secara terbuka dengan melibatkan kakitangan beragama Islam, sepatutnya pemimpin itu mengakui kesilapan dan memohon maaf.
"Itu yang terbaik, sebaliknya dia bersikap tidak profesional dengan menuduh Pas pula yang sesat.
"Sebenarnya, kenyataan beliau (Kor Ming) itu sendiri yang keliru, sesat dan menyesatkan," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di Balai Polis Kuantan di sini pada Rabu.
Laporan polis ke atas Ahli Parlimen Teluk Intan yang juga Naib Pengerusi DAP itu dibuat Pas Bahagian Indera Mahkota, Paya Besar dan Pemuda Pas Pahang.
Andansura yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah berkata, Pas mempersoalkan penganjuran sambutan Krismas di pejabat kerajaan itu kerana ia bertentangan dengan perlembagaan dan undang-undang.
"Sebagai menteri, dia kena faham orang Islam ada had dan batasannya dalam meraikan perayaan melibatkan agama lain.
"Ada perkara yang boleh buat dan tidak boleh sebab itu ia tidak boleh melibatkan orang Islam dalam meraikan sambutan termasuk Krismas yang berlaku baru-baru ini," ujarnya.
Beliau berkata, kenyataan Kor Ming dilihat seolah cuba menyanggah batasan ditetapkan Islam dan jelas menyentuh isu 3R (agama, kaum, raja) hingga mengundang ketidakselesaan orang ramai.
"Belum pernah lagi berlaku dalam sejarah satu kementerian menganjurkan sambutan perayaan lain secara besar-besaran selain Aidilfitri dan Aidiladha.
"Justeru kita nasihatkan beliau supaya faham dan patuhi peraturan serta undang-undang ditetapkan.
"Selama ini kita hidup harmoni, tidak ada sebarang isu setiap kali adanya sambutan perayaan sehingga dia sendiri mencetus isu yang mencetuskan ketidakselesaan dalam negara," katanya.
Jelas beliau lagi, setakat ini sembilan laporan sudah dibuat pihaknya ke atas pemimpin itu.
"Kita minta pihak polis menjalankan siasatan secara telus dan adil berhubung perkara itu.
"Sekiranya tindakannya jelas menyalahi perlembagaan dan undang-undang, ambil tindakan sewajarnya agar kejadian seperti itu tidak terus berulang," katanya.