KANGAR - Sukarelawan terdiri daripada mahasiswa beberapa universiti dijangka tiba pada Khamis bagi memeriahkan Jelajah Sinar Untuk Rakyat yang julung kali dianjurkan di Perlis pada 4 dan 5 Januari ini.
Penyelaras program, Othman Mamat berkata, jelajah yang akan dimeriahkan dengan pelbagai acara itu berlangsung di Masjid Jamek Beseri dan Institut Kemahiran Mara (IKM) Beseri.
Menurutnya, mahasiswa dan alumni dari beberapa pusat pengajian tinggi antaranya Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) serta beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dijangka tiba bagi menyumbang tenaga membantu pelbagai urusan sepanjang program berkenaan.
"Mereka dijadualkan sampai esok bagi membantu membuat persiapan menjelang program Jelajah Sinar Untuk Rakyat Sabtu ini," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, setakat ini segala persiapan sedang rancak dilakukan dengan beberapa persediaan lancar.
"Kita akan mengadakan aktiviti sampingan termasuk kaunter pemeriksaan kesihatan percuma untuk penduduk terutama anak kariah Masjid Jamek Beseri.
"Pemeriksaan itu akan dilakukan pasukan pegawai perubatan dari Hospital Pakar KPJ Perlis meliputi pemeriksaan tekanan darah, kadar gula dalam darah dan beberapa pemeriksaan kesihatan asas lain," katanya.
Menurut beliau, kerja-kerja pemasangan khemah untuk tetamu termasuk Khemah Diraja akan dilaksanakan pada Khamis manakala pelbagai peralatan memasak akan dipasang pada sebelah petang.
"Tinjauan dan pemeriksaan laluan untuk aktiviti kayuhan santai bersama Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sejauh kira-kira 15 kilometer di sekitar Beseri juga akan dilakukan pagi esok," katanya.
Tambah beliau, pihak pengurusan Masjid Jamek Beseri sudah menguar-uarkan kepada penduduk sekitar Beseri dan menyasarkan kira-kira 1,000 pengunjung akan hadir memeriahkan majlis jamuan kenduri sekampung Sabtu ini.