SHAH ALAM - Usaha mencegah dan melawan rasuah seharusnya bermula dari rumah seterusnya disebarkan ke seluruh masyarakat agar landskap ekonomi negara menjadi lebih mapan demi kelangsungan generasi akan datang.
Pengerusi Gabungan Rasuah Busters Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, Profesor Dr Hamdan Daniel M Sharib berkata, tiada mustahil jenayah rasuah dapat dibanteras dengan adanya kerjasama daripada semua pihak.
Menurutnya, rakyat Malaysia perlu ada rasa tanggungjawab terhadap bangsa dan negara.
"Maka dengan ini kita semua harus memasang niat untuk sama-sama berganding bahu dalam memastikan negara berada di landasan yang betul.
"Gejala rasuah yang semakin parah haruslah diubati dengan mencari penawarnya.
"Tentulah bermula dari rumah dan menyelinap seluruh aspek kehidupan kita," katanya kepada Sinar Harian.
Sebelum ini, dalam Amanat Tahun Baharu 2025, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, negara berhasrat menegakkan prinsip ke arah kecemerlangan dan perpaduan serta membasmi rasuah sekali gus mengukuhkan kedudukan sebagai sebuah negara yang berdaulat, merdeka serta bertanggungjawab.
Jelasnya, semua pihak harus bersama menjunjung prinsip 'striving for excellence', maknanya berusaha mencari jalan dan kaedah supaya mencatat kecemerlangan, mengukuh perpaduan di dalam negara terlebih dahulu.
Ulas Anwar, ini kerana, sebelum melangkau ke rantau dan ke pasaran antarabangsa negara harus teratur dengan baik, tatakelola mesti dimantapkan, ketirisan dan rasuah mesti dibanteras.
Tambah Hamdan Daniel, prinsip rukun negara seharusnya menjadi nadi yang terus berdenyut di jiwa raga.
"Sempena melangkah ke tahun baharu marilah kita menyokong usaha kerajaan dan badan yang bertanggungjawab membasmi rasuah.
"Semoga negara kita berdaulat dan terus berada unggul di persada dunia," jelasnya.
Beliau turut memuji Anwar di atas usaha berterusan malahan mengingatkan rakyat agar bersama menyokong kerajaan dalam demi perpaduan.