TAWAU - Tindakan seorang lelaki cuba menyeludup gas petroleum cecair (LPG) membawa padah apabila ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) di kawasan perairan Pelabuhan di sini pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, suspek berusia 23 tahun ditahan bersama 35 tong LPG yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran.
Komander PPM Wilayah 4, Asisten Komisioner Mohd Nazri Ibrahim berkata, tangkapan dan rampasan berjaya dibuat selepas sepasukan anggotanya melakukan rondaan di lokasi tersebut.
"Semasa bot ronda PPM Tawau menahan dan memeriksa sebuah bot laju berjaya menemui 35 tong gas yang diletakkan di bahagian ruang kargo bot tersebut.
"Suspek disyaki cuba menyeludup LPG ke negara jiran selepas gagal menunjukkan sebarang dokumen atau permit terhadap barang kawalan itu daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN)," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Mohd Nazri berkata, lelaki tersebut telah ditahan untuk siasatan lanjut.
"Barang rampasan bernilai RM39,250 dibawa ke pangkalan PPM Tawau untuk tindakan selanjutnya.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan niat melakukan kesalahan," katanya.