SHAH ALAM - Kos sara hidup tinggi merupakan antara lima cabaran yang dihadapi setiap isi rumah di negara ini.
Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman berkata, cabaran lain yang perlu kerajaan tangani adalah kos membesarkan anak-anak semakin meningkat, kurangnya masa, rakyat melakukan dua pekerjaan dan ketagihan penggunaan gajet dalam kalangan rakyat.
Menurutnya, jika diperhatikan, setiap cabaran itu menunjukkan wujudnya isu-isu struktural ekonomi, sosial dan teknologi yang mempengaruhi masyarakat serta negara.
"Jika setiap keluarga bergelut dengan kenaikan harga barang, ini juga mencerminkan cabaran negara dalam mengawal inflasi serta memastikan kestabilan ekonomi.
"Kerajaan perlu menangani isu ini dengan dasar yang dapat meringankan beban rakyat seperti subsidi, bantuan tunai dan kawalan harga barang,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Mengulas lanjut, tambah Syahir, bagi cabaran kedua pula iaitu kos membesarkan anak-anak semakin meningkat akan menjadi petunjuk kepada negara untuk memikirkan lebih banyak insentif dalam beberapa bidang.
Ujarnya, ia melibatkan bidang pendidikan, penjagaan kesihatan dan sokongan keluarga agar generasi muda tidak terpinggir mahupun tercicir.
"Bagi cabaran kurangnya masa bersama keluarga, kerajaan perlu menggalakkan persekitaran kerja yang menyokong kesejahteraan keluarga, seperti waktu kerja yang lebih fleksibel, kemudahan penjagaan anak dan mewujudkan lebih banyak ruang rekreasi keluarga,” katanya.
Selain itu, Syahir berkata, kerajaan perlu memastikan ekonomi dapat memberi peluang pekerjaan yang lebih baik dan memadai bagi rakyat.
Tambahnya, kerajaan juga boleh memperkenalkan program kemahiran dan latihan yang relevan dengan keperluan industri serta ekonomi gig.
"Ini kerana terdapat segelintir masyarakat yang terpaksa melakukan dua pekerjaan bagi menghadapi cabaran yang mencerminkan masalah ekonomi negara,” katanya.
Syahir juga memberi saranan kepada kerajaan untuk menangani kesan sosial daripada penggunaan gajet yang berlebihan khususnya dalam kalangan generasi muda.
"Masyarakat boleh dididik mengenai penggunaan teknologi dengan lebih sihat," ujarnya.