JOHOR BAHRU - Tiga pasangan suami isteri teruja apabila menerima kehadiran cahaya mata pada tarikh istimewa tahun baharu di Hospital Pakar KPJ Puteri di sini pada Rabu.
Mohammed Fazurul Rahman, 30, berkata, pada awalnya isterinya, Nur Atila Abd Rahman, 29, dijadual bersalin pada 4 Januari, namun memilih untuk melakukan pembedahan pada tahun baharu selepas mendapat nasihat daripada doktor.
Mohammed Fazurul yang bekerja sebagai tukang masak di Singapura berkata, kehadiran bayi sulung amat bermakna buat mereka sekeluarga.
"Memandangkan saiz bayi kami agak besar, doktor menasihatkan isteri untuk bersalin lebih awal sedikit, jadi kami bersetuju untuk memilih tarikh 1 Januari yang menandakan kedatangan tahun baharu.
"Dulu pernah cakap kalau dapat anak pada 1 Januari akan sambut dengan mercun, ini rezeki, syukur,” katanya./p>
Sementara itu, N Pragash, 35, dan S Kalaivaani, 32, menyambut kelahiran bayi lelaki pada jam 11.14 pagi.
"Jangkaan bersalin 8 Januari tapi hari ini sebab ada bukaan, sakit perut, sampai hospital jam 7 pagi tadi.
"Memang tak jangka tapi sangat gembira dapat tarikh 1 Januari,” katanya.
Pasangan suami isteri, Chu Chung Ng, 35, dan isterinya, Tan Ying Qi, 36, turut menyambut kehadiran cahaya mata pertama mereka pada jam 8.50 pagi Rabu.
Chung Ng yang merupakan seorang eksekutif pemasaran memberitahu, dia dan isterinya juga merancang untuk mendapat zuriat pada tarikh istimewa tahun baharu.
"Kami memilih tarikh ini agar anak kami mendapat usia penuh sebelum memulakan persekolahannya.
"Kami percaya perbezaan usia itu akan juga membantu tumbesaran dia kelak," katanya.