Disangka biawak rupanya buaya

Iklan
Seorang suri rumah tergamam selepas melihat seekor buaya sepanjang 1.4 meter tiba-tiba muncul di parit di hadapan rumahnya di Pasir Mas. Foto hiasan

KOTA BHARU - Seorang suri rumah tidak menyangka rutin harian membuang sisa ikan bertukar menjadi pengalaman mendebarkan apabila seekor buaya sepanjang 1.4 meter tiba-tiba muncul di parit di hadapan rumahnya di Lorong Masjid Tal 7, Pasir Mas, pagi Selasa.

Ong Lian Hui, 56, berkata, pada mulanya dia menyangka haiwan itu hanya seekor biawak besar namun jangkaannya meleset apabila melihat reptilia itu, yang menerkam sisa ikan dibuangnya, lebih dekat.

Iklan
Iklan

"Saya tergamam apabila sedar ia sebenarnya buaya. Saya terus beritahu penduduk setempat dan tidak lama kemudian ramai yang datang untuk melihat sendiri haiwan itu," katanya kepada Bernama pada Rabu.

Menurut Lian Hui, selepas kemunculan pertama buaya itu kira-kira jam 9 pagi Selasa, haiwan tersebut menghilang tetapi muncul semula sekitar jam 9 pagi dan 3 petang Rabu.

Iklan

"Buaya itu muncul selepas anjing peliharaan saya menyalak bertalu-talu. Saya takut buaya itu mencederakan anjing saya, jadi saya segera menghubungi bomba," katanya.

Lian Hui berkata, kejadian itu mengejutkan penduduk sekitar kerana ini adalah kali pertama buaya dilaporkan muncul di kawasan itu.

Iklan

"Saya percaya buaya ini sesat dan telah dihanyutkan air banjir baru-baru ini ke kawasan perumahan ini," katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Adnan Muhammad Juri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.02 pagi tadi.

"Sepasukan 10 anggota bomba dikerahkan ke lokasi tetapi setibanya kami di sana, buaya itu sudah tiada," katanya.

Adnan berkata, pihak bomba akan memaklumkan kejadian itu kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara untuk tindakan lanjut.

Sehubungan itu, penduduk dinasihatkan supaya berhati-hati dan segera melaporkan kepada pihak berkuasa jika melihat haiwan liar di kawasan mereka. - Bernama