MUAR - Seorang pesara syarikat swasta kerugian RM89,000 selepas diperdaya scammer yang menyamar sebagai pegawai polis dan pegawai mahkamah.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, mangsa lelaki tempatan berusia 60 tahun membuat laporan mengenai kejadian itu pada Selasa.
Menurutnya, mangsa memberitahu segalanya bermula selepas dia menerima panggilan telefon dari sebuah syarikat insurans menyatakan dia mempunyai tuntutan polisi insurans.
"Mangsa menafikan dan diminta membuat laporan polis, seterusnya disambungkan kepada seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai pegawai polis.
"Pegawai polis berkenaan memaklumkan mangsa terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurut beliau, mangsa seterusnya menerima WhatsApp daripada seorang wanita memperkenalkan diri sebagai pegawai mahkamah yang boleh membantu mangsa menyelesaikan kes.
"Pada 4 Disember lalu, mangsa diminta pergi ke sebuah bank di bandar ini untuk menukar maklumat perbankan dalam talian melalui mesin ATM.
"Mangsa juga diminta memindahkan semua wang simpanan miliknya berjumlah RM89,000," katanya.
Beliau berkata, pada 11 Disember lalu, mangsa dimaklumkan perlu membayar wang jaminan sebanyak RM38,000.
Katanya, mangsa yang berasa curiga terus menyemak akaun bank miliknya dan mendapati baki tinggal RM98.67.
"Mangsa telah mengemas kini perbankan online miliknya dan mendapati wang simpanannya berkurangan sebanyak RM89,000. Mangsa percaya ditipu dan membuat laporan polis,” katanya.
Beliau memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
"Orang ramai diminta sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berhati-hati terutama dalam urusan melibatkan transaksi kewangan
"Selain itu, mereka turut diingatkan untuk sentiasa mengikuti nasihat dalam media sosial seperti Facebook, Instagram, TikTok Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) bagi mendapat maklumat berkenaan modus operandi scammer," katanya.