PEKAN - Dua lelaki ditahan selepas cuba lari daripada pemeriksaan dalam satu sekatan jalan raya di Kilometer 2 Jalan Kuantan-Pekan di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9.40 malam itu, kedua-dua suspek berusia 20 dan 31 tahun sebelum itu ditahan dan diarah turun dari kereta jenis Perodua Axia dinaiki untuk dibawa menjalani ujian saringan air kencing.
Menurutnya, semasa dibawa untuk ujian saringan air kencing itu, kedua-dua suspek bertindak nekad cuba masuk semula ke dalam kereta untuk melarikan diri.
"Suspek bertindak menolak beberapa anggota polis hingga berlaku pergelutan menyebabkan dua anggota terjatuh dan mengalami kecederaan ringan.
"Bagaimanapun cubaan suspek untuk melarikan diri gagal apabila kedua-duanya berjaya ditahan," katanya.
Mohd Zaidi berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-duanya positif dadah jenis methamphetamine.
"Kedua-dua suspek ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan," katanya.
Jelas Mohd Zaidi, semasa tangkapan dilakukan, hanya kekerasan minimum digunakan dan tiada sebarang salah laku dilakukan anggota dalam tindakan itu.
Bagaimanapun katanya, rakaman video kejadian itu yang tular di laman sosial telah menimbulkan tanggapan negatif kepada anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan yang ketika itu menjalankan tugas Ops Cegah Jenayah sempena ambang tahun baharu.
"Orang ramai dinasihatkan supaya lebih bertanggungjawab dan tidak menularkan penugasan polis bagi tujuan negatif.
"Masyarakat juga diminta agar memberi kerjasama kepada pihak polis semasa menjalankan tugas dan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden itu sehingga boleh mencemarkan imej polis IPD Pekan," ujarnya.