JAKARTA - Ketua Pengarah Jabatan Narkotik Polis Daerah Metro Jaya Jakarta, Donald Parlaungan Simanjuntak dipecat 'dengan tidak hormat' daripada institusi kepolisan, lapor media tempatan.
Keputusan pemecatan itu adalah berdasarkan penemuan pelanggaran kod etika dan profesion Polis Republik Indonesia (Polri), berhubung kes pemerasan anggota polis secara berstruktur terhadap warganegara Malaysia yang menghadiri acara konsert Djakarta Warehouse Project (DWP), di Kemayoran, Jakarta Utara, yang berakhir pada 15 Disember lalu.
"Keputusan sidang menetapkan tindakan 'pemberhentian tidak dengan hormat' untuk direktur (ketua pengarah) bahagian narkotik dan ketua unitnya juga," ujar Ketua Pesuruhjaya Polis, M Choirul Anam, pada Rabu, seperti dilaporkan Kompas. Sementara itu, nasib anggota polis lain yang didapati terlibat dalam kes tersebut, menurutnya, akan diputuskan pada sidang berikutnya iaitu pada Khamis (2 Januari).
Tambah M Choirul, kedua-dua pegawai tinggi yang dikenakan tindakan pecat itu telahpun mengajukan rayuan pertimbangan.
Kes pemerasan terhadap rakyat Malaysia di DWP melibatkan sejumlah 18 anggota polis yang terdiri daripada mereka yang bertugas di pejabat polis bahagian, polis bandar mahupun polis daerah. Sehingga kini, kesemua mereka telah ditahan sementara menunggu siasatan lanjut.
Pada Sabtu lalu, polis Indonesia menahan 18 anggota mereka kerana didakwa memeras ugut warga Malaysia pada konsert DWP selama tiga hari di Kemayoran, Jakarta Utara.
Penahanan dibuat susulan beberapa aduan daripada warga Malaysia yang mendakwa mereka dianiaya dan diperas sepanjang acara itu tular di media sosial.
Kes itu kini dipantau rapi oleh badan luar seperti Suruhanjaya Polis Negara (Kompolnas) bagi memastikan ketelusan dan keadilan dalam siasatan. - Awani