IPOH – Tidak tersenarai dalam barisan kepimpinan baharu PKR Perak dilihat bukan satu isu besar yang perlu difikirkan secara serius.
Adun Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad berkata, sama ada mempunyai jawatan dalam parti atau tidak, peranan mereka tetap sama untuk terus memberikan perkhidmatan yang baik kepada rakyat.
"Bagi saya jawatan itu bukanlah satu isu terpenting kerana saya sendiri selaku wakil rakyat ada tanggungjawab lebih besar yang perlu ditunaikan.
"Bos saya sekarang adalah rakyat kerana itu penting untuk kita dapatkan sokongan rakyat dan terus fokus kepada hal-hal kebajikan,” katanya ketika ditemui pada program Pusat Khidmat Bergerak Dun Hulu Kinta di Pasar Tanjung Rambutan, hari ini.
Ketua PKR Cabang Tambun itu menyambut baik kepimpinan yang dibarisi muka lama dan baru bagi menerajui PKR Perak bagi sesi 2018-2020.
"Beri mereka peluang ambil pengalaman dan tunjukkan komitmen dalam kepimpinan, saya sendiri dah berbelas tahun dalam politik dan selaku ketua cabang saya masih dalam barisan itu, cumanya tiada jawatan dalam kepimpinan negeri,” katanya.
Dalam pada itu, Muhamad Arafat berkata, Pusat Khidmat Bergerak yang menggabungkan kerjasama beberapa agensi kerajaan antaranya Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Kesihatan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan dilaksanakan setiap bulan di semua lapan kampung tradisi dan lima kampung baharu dalam Dun Hulu Kinta.
Menurutnya, ia adalah konsep baharu diperkenalkan dengan tumpuan di kawasan pasar bagi memudahkan orang ramai menyelesaikan masalah, aduan mahupun permohonan yang belum selesai.
"Operasi pusat khidmat pada waktu pejabat mungkin sukarkan mereka hadir kerana waktu yang terhad, jadi kita cadangkan cara ini yang lebih terbuka dan memudahkan rakyat.
"Alhamdulillah kita menerima respons yang baik meskipun mereka sedikit hairan kerana selalunya situasi seperti ini berlaku bila lagi enam bulan nak PRU, kali ini lagi lima tahun nak PRU kita dah turun kawasan,” katanya.