ALOR SETAR - Kerajaan negeri mengumumkan bantuan wang tunai sebanyak RM500 kepada mangsa banjir pada November tahun lepas di Kedah melibatkan peruntukan sebanyak RM3.5 juta bagi meringankan beban mereka.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, bantuan terbabit akan diberikan kepada ketua isi rumah (KIR) yang berpindah dan juga tidak berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Beliau berkata, pihaknya akan berusaha memastikan bantuan wang tunai terbabit dapat disalurkan kepada mangsa terlibat dalam tempoh terdekat.
"Kita akan bayar pada bulan Januari (sebab) bulan ini ada cuti sekolah dan selepas itu hendak buka sekolah.
"Jadi, sekurang-kurangnya (apabila) bayar pada masa itu setidak-tidaknya bolehlah bantu sikit untuk persediaan buka sekolah," katanya.
Beliau berkata sedemikian pada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Penjawat Negeri Kedah di Dataran Wisma Darul Aman, di sini, pada Khamis.
Muhammad Sanusi menjelaskan, pihaknya telah membuat pertimbangan khusus untuk pemberian bantuan kepada mangsa banjir yang berpindah dan tidak berpindah atas beberapa faktor.
"Ada juga orang yang berpindah walaupun rumahnya tidak tenggelam tetapi dia berpindah kerana jalan terputus.
"Ada juga yang tidak dapat berpindah atas faktor-faktor kesihatan, faktor keselamatan dan boleh duduk di rumah bahagian atas," katanya.
Beliau memberitahu, ada penduduk memilih untuk tidak berpindah disebabkan PPS di daerah itu terlalu padat.
Sehubungan itu, tambah Muhammad Sanusi, kerajaan negeri memutuskan memperluas pemberian bantuan wang tunai itu kepada semua mangsa banjir di Kedah.
"Kita jangkakan jumlah mangsa banjir sebenarnya (pada November) lebih ramai daripada fasa satu (September), yang mana berdasarkan rekod ketika ini meliputi mangsa yang ada di PPS sahaja.
"Namun, kita telah minta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JKKK) ataupun penghulu untuk mengesahkan keterlibatan mangsa terjejas dalam banjir (di rumah)," katanya.
Menurutnya lagi, kerajaan negeri menjangkakan jumlah mangsa banjir di Kedah pada November lepas adalah hampir dua kali ganda dari jumlah direkodkan di PPS.
"Justeru, peruntukan RM3.5 juta itu, kita bahagi supaya setiap isi rumah terima RM500, sekurang-kurangnya ada sikitlah sumbangan pada kerajaan negeri untuk mangsa banjir pada bulan November baru-baru ini," katanya.
Muhammad Sanusi turut menzahirkan penghargaan kepada semua penjawat awam dan agensi yang bertungkus-lumus sepanjang empat fasa banjir yang dihadapi Kedah antara 17 September hingga 16 Oktober serta 26 hingga 28 November tahun lepas.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Kedah telah membuat persiapan untuk menghadapi kemungkinan bencana alam termasuk musim kemarau berpanjangan dan banjir pada tahun ini.
Sebelum itu, Muhammad Sanusi melancarkan Pelan Strategik Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah bagi tempoh 2025-2028 dan platform iHome Kedah.