ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah mencatatkan kutipan hasil lebih RM700 juta pada tahun lepas, menjadikannya jumlah hasil tertinggi dalam sejarah negeri ini.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, hasil kutipan hasil yang dicatatkan juga melebihi sasaran awal ditetapkan.
Beliau berkata, angka terbabit disifatkan sangat luar biasa dan mengejutkan dengan melebihi unjuran sebanyak 102 peratus.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada jentera kerajaan negeri yang diterajui Setiausaha Kerajaan Negeri (Datuk Seri Norizan Khazali) dan semua agensi kutipan hasil.
"Saya juga menghargai agensi lain yang, walaupun tidak terlibat secara langsung dalam kutipan hasil yang mengamalkan perbelanjaan berhemah dan tidak membazir," katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Kedah di Dataran Wisma Darul Aman, di sini, pada Khamis.
Beliau berpandangan, pencapaian diperolehi terbabit adalah sesuatu yang belum pernah terjadi sebelum ini untuk Kedah.
Muhammad Sanusi memberitahu, keupayaan Kedah memperolehi kutipan hasil melebihi RM700 juta tanpa peruntukan Persekutuan adalah pencapaian besar.
Dalam perkembangan itu, beliau menambah, Kedah turut menjangkakan kutipan hasil lebih tinggi pada 2025 melalui sumber-sumber baharu seperti penerokaan unsur nadir bumi (REE) dan kredit karbon.
"Di pihak kepimpinan negeri, saya bersama EXCO akan terus memberi fokus terhadap usaha menambah hasil Negeri bagi memenuhi setiap pembiayaan yang diperlukan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat yang menjadi matlamat utama kerajaan.
"Justeru, adalah menjadi harapan saya agar usaha ini mendapat dukungan sepenuhnya daripada penjawat awam di semua peringkat agar sasaran kita meningkatkan hasil negeri RM1 bilion dapat dicapai," katanya.